lightning-solid
Berita :
'Jangan Jadi Syaitan Bisu’
'Jangan Jadi Syaitan Bisu’
Amirul Mohd
23 Oct 25
229

MARANG, 23 Oktober – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi peringatan keras kepada golongan ulama yang membisu dalam menghadapi kezaliman dan kemungkaran, menyifatkan mereka sebagai 'syaitan bisu'.

Menerusi tulisan terbarunya dalam Minda Presiden PAS bertajuk ‘Apabila Ulama’ Tidak Beristiqamah’, beliau menegaskan bahawa sikap mendiamkan diri terhadap kemungkaran boleh mengelirukan masyarakat antara kebenaran dan kebatilan.

“Kalangan ulama menamakan para ulama yang membisu terhadap kemungkaran dan kezaliman sebagai syaitan bisu kerana boleh mempengaruhi orang ramai kepada salah faham terhadap kemungkaran, sehingga dianggap betul apa-apa yang dibisu oleh ulama,” katanya.

Beliau turut memetik firman Allah dari Surah al-Baqarah mengenai ancaman terhadap golongan yang menyembunyikan kebenaran dan menjual agama demi kepentingan dunia.

“Alangkah beraninya mereka terjun ke dalam neraka kerana menjual agama Allah dengan membeli kesesatan,” tegasnya lagi.

Abdul Hadi juga menyamakan ulama yang tergoda dengan habuan dunia dengan kisah Bal’am bin Ba‘ura’, dan menyifatkan mereka umpama anjing, berdasarkan perumpamaan dalam Surah al-A‘raf.

Dalam seruannya, beliau menasihati para ulama agar mencontohi keberanian empat imam mazhab besar iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi‘i, dan Imam Ahmad yang tetap tegas menentang kezaliman meskipun berdepan tekanan, penyeksaan dan pemenjaraan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kewajipan amar ma‘ruf dan nahi mungkar tidak akan mempercepatkan kematian atau mengurangkan rezeki.


Artikel Berkaitan