KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Izzat Hilmi Abdul Halil, mengungguli saingan peringkat kedua Kejohanan Jelajah Terengganu Tour Gateh D’Tranung 2025 yang berlangsung merentasi daerah Hulu Terengganu hari ini.
Dalam perlumbaan sejauh 161.1 kilometer, Izzat mempamerkan kayuhan bertenaga dan taktikal cemerlang untuk menewaskan pelumba RCF Cycling Team, Hakimi Haikal Ahmad Sabri, yang menamatkan saingan di tempat kedua, manakala wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan, berada di tempat ketiga.

Laluan perlumbaan bermula di hadapan Stesen Bas Hulu Terengganu sebelum merentasi beberapa kawasan utama termasuk Bulatan Batu Bersurat, Ajil, Bukit Dimam, Peroh, Landas, Jerangau Barat, Belukar Bukit, Sekayu dan Kuala Menjing, sebelum berpatah balik ke garisan penamat di lokasi permulaan selepas dua pusingan penuh.

Bagi kategori jersi, Cristian Raileanu (Malaysia Pro Cycling Team) menguasai Jersi Kuning Raudah Cahaya Foundation, rakan sepasukannya Jonas Muller meraih Jersi Putih, manakala Jersi Oren menjadi milik Hakimi Haikal (RCF). Jersi Hijau EPIC pula disarung Izzat Hilmi (ATM), sementara Jersi Polka Dot Ladang Rakyat dimenangi Muhammad Zawawi Azman (ATM).
Terdahulu, peringkat pembukaan kejohanan semalam berlangsung di Kuala Nerus menerusi acara ‘Team Time Trial’ (TTT) sejauh 24 kilometer, membuka tirai penuh warna-warni bagi kejohanan berprestij itu.