Berita :
Hasrat 26 Tahun Akhirnya Tercapai, Keluarga Kini Diami Rumah Sendiri
Hasrat 26 Tahun Akhirnya Tercapai, Keluarga Kini Diami Rumah Sendiri
Wan Al Affan Bassam Wan Manam
1 jam yang lepas
107

DUNGUN, 21 Mei — Penantian penuh sabar selama hampir 26 tahun akhirnya ternokhtah buat seorang bapa apabila impiannya untuk memiliki dan mendiami rumah sendiri tercapai.

Adnan Abdullah berkata, kehidupannya sebelum ini serba kekurangan dan beliau sekeluarga terpaksa menempuh pelbagai kesusahan demi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, keadaan rumah lama yang didiami sangat daif sehingga tandas terletak di luar rumah dan memaksa mereka keluar setiap kali ingin menggunakannya.

“Selama ini kami hidup dalam keadaan serba sederhana. Untuk ke tandas pun kami terpaksa keluar rumah dahulu. Syukur Alhamdulillah, selepas menunggu sekian lama akhirnya kami sekeluarga dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di rumah sendiri,” katanya penuh rasa syukur.

Beliau merupakan antara penerima bantuan di bawah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diwujudkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan tempat tinggal yang lebih sempurna dan selamat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undanagn Negeri ADUN Rantau Abang Mohd Fadhli Rahmi berkata, pihaknya sentiasa mengambil perhatian terhadap keperluan rakyat di kawasan setempat dan berusaha membantu mereka yang memerlukan.

Menurut beliau, walaupun terdapat beberapa cabaran dan kekangan dalam pelaksanaan bantuan, usaha untuk menjaga kebajikan penduduk akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran keluarga Encik Adnan selama ini, mereka kini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa bersama keluarga tersayang,” katanya.

Beliau turut berharap bantuan seperti itu dapat memberi sinar baharu kepada lebih ramai penduduk yang masih memerlukan kediaman yang sempurna pada masa akan datang.

 


 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan