lightning-solid
Berita :
ECRL: MRL Sedia Hadapi Musim Tengkujuh
ECRL: MRL Sedia Hadapi Musim Tengkujuh
Zahid Mustafar
3 jam yang lepas
93

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) memberi jaminan bahawa pihaknya telah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pelan kesiapsiagaan dan tindakan segera telah dirangka bagi memastikan keselamatan pekerja, komuniti setempat serta kelancaran kerja-kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak terjejas.

"Penghujung tahun ini kita akan hadapi musim tengkujuh seperti biasa, dan peringkat demi peringkat kita bersedia sekiranya berlaku sebarang kejadian.

"Kita akan pastikan bantuan dapat disalurkan segera melalui ECRL seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ke tapak projek ECRL di Stesen Kuala Terengganu, Durian Guling, semalam.

SYA_6146.jpg 315.42 KB
Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku insiden yang berpunca daripada aktiviti projek.

"Kita bertanggungjawab atas apa yang berlaku, dan sekiranya memang ditentukan berlaku disebabkan oleh ECRL, kita akan pastikan semua tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu-isu tersebut," tambahnya.

Menurut beliau, antara kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi ialah Pasir Puteh di Kelantan, namun langkah-langkah mitigasi telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kepada penduduk setempat.

"Banyak kawasan yang dikenal pasti sudah diambil tindakan sewajarnya, namun kita tidak menolak kemungkinan ada kawasan lain yang akan terjejas," jelasnya.

Tambah Darwis, faktor cuaca dan musim tengkujuh telah diambil kira dalam setiap perancangan pelaksanaan projek bagi memastikan jadual siap tidak terjejas.

"Kita telah mengambil semua faktor tersebut dalam merangka proses penyiapan kerja, termasuk elemen dan faktor cuaca," ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan bersepadu itu menunjukkan komitmen tinggi MRL terhadap aspek keselamatan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat di sepanjang laluan ECRL.

Projek mega bernilai tinggi itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026 sebelum mula beroperasi Januari 2027, menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang serta membawa limpahan ekonomi baharu kepada rakyat.


Artikel Berkaitan