lightning-solid
Berita :
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
Delegasi Antarabangsa Meriahkan Muslim Ummah International Forum di Kedah
Adli Mohamad
14 Sep 25
388

JITRA, 14 September – Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) yang berlangsung di BDB Darul Aman Golf Resort, Kedah, hari ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran delegasi dari Palestin, Turkiye, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa MUNIF 2025, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyifatkan penyertaan negara-negara tersebut sebagai detik bermakna dalam usaha memperkukuh persaudaraan Islam dan solidariti ummah merentasi sempadan.

“Bagi pihak Jawatankuasa Penganjur, saya mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu kehormat, para peserta serta rakan-rakan media.

“Kehadiran anda semua memberikan suntikan semangat dan keyakinan bahawa usaha memperteguh suara dan gerakan umat Islam bukan sekadar retorik, tetapi boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan strategi nyata,” katanya ketika berucap di forum tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah selaku tuan rumah, serta sokongan erat anggota SG4 iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan dan Perlis yang bersama menjayakan penganjuran forum ini.

“Terima kasih juga kepada penganjur bersama serta para penaja daripada institusi dalam dan luar negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO dan NGI), syarikat korporat, tokoh masyarakat dan para dermawan yang telah memberikan sumbangan, komitmen dan bantuan signifikan sehingga forum bersejarah ini dapat direalisasikan,” tambahnya.

Forum antarabangsa ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama, memperkasakan wacana Islam global, selain mengangkat semangat kebersamaan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa dunia.


Artikel Berkaitan