lightning-solid
Berita :
Bot Nelayan Vietnam Ditenggelamkan Sebagai Tukun Tiruan
Bot Nelayan Vietnam Ditenggelamkan Sebagai Tukun Tiruan
Hidayah Azlin
23 Oct 25
6026

BESUT, 23 Oktober – Bot-bot nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara dan telah dilucut hak oleh mahkamah akan diproses untuk ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di Perairan Terengganu termasuk di lokasi strategik di Pulau Rhu, Besut.

Inisiatif pelupusan secara mampan ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim, yang mana proses ini tidak hanya memulihara ekosistem marin tetapi turut menjana hasil tanpa melibatkan kos kerajaan.

Dr Azman menjelaskan, kontraktor yang dilantik melalui proses tender akan menjalankan kerja-kerja menanggalkan enjin dan semua komponen bernilai daripada bot-bot tersebut. Hanya badan bot yang kosong akan ditenggelamkan.

"Kerajaan tidak perlu mengeluarkan apa-apa kos untuk proses pelupusan ini, malah dapat hasil dari proses tender. Kontraktor akan menanggalkan enjin dan semua komponen lain dan hasil jualan komponen ini lebih dari mencukupi untuk menampung kos pelupusan. Lebihan hasil jualan akan diserahkan balik sebagai hasil kerajaan," katanya.

Tambahnya, untuk memastikan bot kekal tenggelam, badan bot diisi dengan batu dan pasir sebagai pemberat. Selain itu, dibuat lubang besar sebelum ditenggelamkan pada kedalaman sekitar 16 meter.

"Bot tersebut tinggal hanya badan kosong yang diisi batu pemberat dan dibuat lubang besar untuk dibocorkan dan ditenggelamkan. Silakan kalau nak timbulkan balik dan bawa lari," ujarnya, menyangkal keraguan mengenai kemungkinan bot dicuri semula.

Berkenaan isu pencemaran, Dr Azman menegaskan proses pelupusan adalah selamat dan mesra alam, kerana semua enjin dan minyak telah dikeluarkan sepenuhnya.

Lokasi penenggelaman ditentukan oleh Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) selepas kajian terperinci bagi memastikan keselamatan pelayaran dan pematuhan struktur dasar laut seperti laluan paip.

Mengakhiri kenyataannya, Dr Azman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu atas komitmen berterusan dalam mengawal kedaulatan perairan negeri.

"Penenggelaman bot-bot ini sebagai tukun tiruan adalah simbolik kepada ketegasan dan balasan yang setimpal kepada penceroboh. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada APMM Terengganu yang terus komited mengawal laut Terengganu dari anasir asing yang merosakkan dan mencuri khazanah hasil laut kita," tambah beliau.

Tukun-tukun tiruan ini dijangka menjadi habitat baharu dan meningkatkan biomas ikan bernilai tinggi, memberikan manfaat jangka panjang kepada nelayan tempatan di negeri Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan