KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena hujan ekstrem dan keadaan tanah tepu yang dijangka menjadi punca utama banjir besar pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah JPS Terengganu, Ir. Osman Abdullah, berkata walaupun ramalan Jabatan Meteorologi menunjukkan jumlah hujan tahun ini berada pada paras purata normal, namun kadar kelembapan tanah yang tinggi boleh menyebabkan kesan lebih buruk apabila hujan berterusan berlaku.
"Kebimbangan kita sudah berlaku hujan secara berterusan seminggu sebelum itu walaupun tidak lebat .
"Semua tanah di kawasan itu sudah tepu. Itu yang kita bimbang," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Communication, Education & Public Awareness (CEPA) sempena kesiapsagaan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 di Hotel Seri Malaysia, semalam.
Beliau turut memberi contoh kejadian pada tahun 2022 di Kampung La, Hulu Besut, menerima taburan hujan 70 milimeter dalam tempoh sehari, bersamaan dengan jumlah hujan tiga bulan yang turun dalam masa hanya satu hari.
“Kalau di Kuala Lumpur, hujan 60 milimeter dalam sejam sudah menyebabkan banjir kilat," katanya.
Menurut Ir Osman, analisis semasa menunjukkan kemungkinan berlaku sehingga tujuh luruan monsun tahun ini, berbanding lima pada tahun lalu, berikutan faktor kelembapan.
Beliau menambah, JPS kini menumpukan usaha memantau paras air sungai dan memperkukuh sistem amaran awal di beberapa daerah, termasuk pemasangan siren automatik serta hebahan melalui media tempatan.
"JPS sentiasa menjalinkan hubungan erat dengan penduduk setempat, bukan sahaja semasa pelaksanaan projek tetapi juga selepas pembinaan siap, bagi memastikan mereka memahami, terlibat dan peka terhadap perkembangan di kawasan masing-masing," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan isu hakisan tanah dan tebing sungai yang semakin aktif di beberapa kawasan, boleh memburukkan lagi kesan banjir sekiranya tidak dipantau rapi.
“Terengganu memang negeri yang aktif hakisan,” ujarnya.
Ir. Osman berkata, pihaknya turut melaksanakan program Community Engagement and Preparedness Awareness (CEPA) bagi memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan komuniti, termasuk melibatkan penduduk setempat sebagai mata dan telinga jabatan untuk tindakan awal sekiranya berlaku peningkatan paras air sungai.