KEMAMAN, 3 November – Karnival 'Indahnya Hidup Bersyariat 2.0: Munajat Air Putih Sejahtera' yang berlangsung meriah di Masjid Dadong, Kemaman pada Jumaat lalu telah berjaya mengukuhkan semangat kebersamaan dan penghayatan syariat Islam dalam kalangan komuniti tempatan.
Acara sehari penuh itu, yang bermula seawal Qiamullail pada jam 4. 00 pagi dan berakhir dengan Solat Isyak, dilihat sebagai platform penting dalam membina kesedaran agama yang holistik, seiring dengan agenda kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, yang merasmikan majlis menyifatkan program itu bukan sahaja menghimpunkan ilmu, malah menyatukan seluruh lapisan masyarakat.
"Alhamdulillah, sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Karnival ini adalah bukti bahawa nilai-nilai bersyariat dapat dipraktikkan dalam bentuk yang santai dan merangkumi, daripada kuliah subuh dan dhuha oleh tokoh-tokoh agama sehinggalah kepada aktiviti kemasyarakatan yang menyantuni golongan asnaf," ujarnya waktu perasmian
Beliau turut menekankan kepentingan semangat perpaduan yang terpancar melalui acara seperti 'Jamuan Rakyat' dan 'Munajat' yang diadakan.
Karnival tersebut turut memukau peserta dengan kepelbagaian aktiviti yang menarik minat semua peringkat umur antaranya termasuklah Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan Permainan Tradisional dan perarakan 'Ride Al-Aqsa' yang mendapat sambutan hangat.
Di sebelah petang, acara 'Chit Chat Al-Aqsa' yang menampilkan tokoh pendakwah Sayyid Abdrahman Sayyid Hasan dan Husain Solahuddin Syed Hasan dilihat berjaya membangkitkan kesedaran global dalam isu kemanusiaan dan peranan umat Islam.
Sesi 'Bual Bicara Bersama Aktivis Sumud Nusantara' turut menutup tirai pengisian ilmu pada sebelah malam.
Sementara itu, Muhammad Hafizi Mohd, Pengerusi Masjid Dadong, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program.
"Kami dari pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat DUN Air Putih dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan edisi 2.0 ini. Inisiatif seperti 'Indahnya Hidup Bersyariat' amat penting sebagai usaha berterusan untuk menjadikan masjid sebagai pusat sehenti (one-stop centre) bagi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan, dan perpaduan ummah," kata beliau.
Beliau berharap agar momentum positif ini dapat diteruskan bagi edisi-edisi yang akan datang dan menjadi contoh kepada masjid-masjid lain di Terengganu Darul Iman.
