KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Sungai Terengganu hari ini kembali bergema dengan lautan semangat patriotik apabila Pertandingan Perarakan Bot Merdeka Terengganu 2025 berlangsung penuh warna-warni sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) itu membawa tema 'Malaysia MADANI Rakyat Disantuni', sekali gus menyemarakkan suasana perayaan dengan gabungan elemen seni, budaya serta kecintaan kepada negara.

Sebanyak 91 buah kenderaan air dengan penyertaan 484 peserta mengambil bahagian dalam perarakan kali ini, meliputi bot agensi kerajaan, bot nelayan, bot pelancong serta jet ski.
Perarakan bermula serentak dari empat jeti utama iaitu Pulau Kekabu di Marang, Pengkalan Pok Awang di Kuala Terengganu, Jeti Kampung Batin di Kuala Nerus dan Pengkalan Tanjung Gelam di Setiu sebelum menuju ke Basin Muara Sungai Terengganu berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menjadi lokasi pelepasan rasmi.

Kemeriahan acara tersebut turut menarik lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri tebing Sungai Terengganu untuk menyaksikan keunikan perarakan bot berhias itu.
Sorakan rakyat yang menyaksikan dari tebing sungai menambahkan lagi aura patriotik, seakan menyatu-padukan semangat cinta negara dalam suasana penuh harmoni.
Bagi menambahkan daya tarikan pertandingan, pihak penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai kepada pemenang dalam setiap kategori yang dipertandingkan, dengan Johan menerima RM500, Naib Johan RM300 dan tempat Ketiga RM200.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran itu bukan sahaja meniupkan semangat patriotisme, malah menjadi simbol kepada perpaduan rakyat pelbagai latar belakang yang bersama-sama menjayakan acara berkenaan.
“Acara ini melambangkan kesatuan rakyat Malaysia. Walau berbeza latar dan peranan, kita tetap bersatu di bawah panji Jalur Gemilang,” katanya.

Pertandingan Perarakan Bot Merdeka kali ini bukan sahaja berjaya memperlihatkan kreativiti peserta, malah turut mengangkat identiti negeri sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan sungai serta budaya, seterusnya memperkukuh semangat kecintaan rakyat kepada tanah air.