lightning-solid
Berita :
4x4 Ingin Terus 'Menari' Di Terengganu
4x4 Ingin Terus 'Menari' Di Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
01 Sep 25
632

KUALA NERUS, 1 September - Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4x4 Team), Muhammad Muzzammil Mokhetar komited bahawa kejohanan kenderaan pacuan empat roda Terengganu Merdeka Challenge akan terus diadakan pada edisi akan datang.

Jelasnya, hasrat untuk terus mempamerkan aksi sukan lasak itu juga telah disuarakan dan mendapat pertimbangan kerajaan negeri untuk dijayakan.

"Ini merupakan kali kelima penganjuran Terengganu Merdeka Challange dengan kerjasama TERJAH 4x4 dan dalam sejarahnya menerima penyertaan terbesar dari seluruh semenanjung Malaysia, melibatkan lebih 350 peserta.

"Kita nampak melalui beberapa tahun penganjuran, telah ada penajaan masuk dari pelbagai pihak kerajaan dan swasta seperti  Kementerian Belia dan Sukan, Turbo 96, Apal Tyre dan TRI 4x4 Equipment.

"Ini menunjukkan satu perkembangan positif disamping sokongan kuat kerajaan negeri dalam bentuk infrastruktur, jentera-jentera dan kebenaran tanah yang banyak membantu kelancaran program kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Terengganu Merdeka Challenge 2025 yang berlangsung di Bandar Baru Kuala Nerus, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua DUN Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat

Muzzammil menjelaskan, Terengganu dianugerahkan satu bentuk muka bumi yang sangat baik yang boleh dikomersialkan sebagai litar kejohanan sukan lasak tersebut.

"Saya berharap kerajaan akan terus membantu untuk mengetengahkan program ini yang bukan sahaja sukan, tetapi boleh menjadi tarikan pelancongan. Lebih menarik, semalam kita telah didatangi dua penggiat sukan ini dari Indonesia yang mencuba trek di sini, namun mereka tidak bertanding.

"Sekalipun sukan ini boleh dikatakan agak mahal dari aspek penyelenggaraannya, tetapi melalui perkembangan teknologi digital sekarang terdapat banyak syarikat luar yang hadir memberikan tajaan dalam bentuk perkhidmatan dan barangan yang membantu meningkatkan prestasi kenderaan peserta dalam perlumbaan.

"Keberadaan peserta dibantu syarikat-syarikat yang  ingin mengetengahkan jenama mereka, jadi penganjuran ini sedikit sebanyak menjadi pentas masing-masing mempamerkan keunggulan produk mereka," tambahnya.

Terengganu Merdeka Challenge 2025 mempertandingkan dua kategori iaitu Short Wheel Base (SWB) dan Long Wheel Base (LWB) dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM13,300 serta barangan kenderaan pacuan empat roda.

 


Tag :

Artikel Berkaitan