lightning-solid
Berita :
22 Unit Tukun Kuboid Juvenil 17 Tan Di Beting Lintang Sasar Tingkat Pendapatan Nelayan
22 Unit Tukun Kuboid Juvenil 17 Tan Di Beting Lintang Sasar Tingkat Pendapatan Nelayan
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
40

BESUT, 19 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu melabuhkan 22 unit tukun tiruan menerusi Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Bagi Daerah Besut di perairan Beting Lintang, di sini, sebagai langkah proaktif memperkayakan sumber maritim sekali gus meningkatkan taraf hidup nelayan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, struktur tukun berprestasi tinggi yang dibina dengan spesifikasi kukuh itu disasarkan mampu bertahan di dasar laut dalam tempoh sekitar 50 tahun.

Menurut beliau, tukun tiruan jenis kuboid juvenil tersebut dibina menggunakan konkrit gred 35, iaitu gred yang sama digunakan dalam pembinaan infrastruktur berat seperti jambatan.

"Setiap unit tukun mempunyai berat keseluruhan mencecah sekitar 17 tan serta dilengkapi tetulang besi di bahagian dalam yang seberat hampir satu tan.

"Dari segi kekuatan tukun, insya-Allah ia amat kukuh. Namun, kita perlu realistik dengan faktor fenomena alam dan semulajadi di dasar laut. Sebab itu kita sasarkan ia mampu bertahan sehingga 50 tahun," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas selesai proses melabuhkan kesemua tukun berkenaan pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Dr Azman menjelaskan selain berfungsi sebagai kawasan pembiakan dan perlindungan benih hidupan laut juvenil, binaan fizikal tukun ini turut bertindak sebagai benteng utama yang menghalang pencerobohan serta aktiviti pukat tunda haram di zon perairan pantai.

"Langkah ini merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara ekosistem laut serta membela nasib komuniti nelayan.

"Ini adalah tekad dan komitmen kami untuk memastikan taraf hidup nelayan dapat ditingkatkan secara mampan dan teguh, seutuh struktur tukun yang dilabuhkan ini," tambahnya.


Usaha pemuliharaan khazanah laut di perairan Besut ini dijangka memberi impak positif kepada hasil tangkapan nelayan zon A dalam jangka masa panjang.


Tag :

Artikel Berkaitan