SETIU, 17 Ogos — Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu dalam empat operasi penguatkuasaan di sekitar Besut dan Setiu pada 14 Ogos lepas.
Operasi membabitkan Ops Belanja, Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Hijau itu bermula 7 pagi dengan pemeriksaan di enam lokasi termasuk pasar pagi, rumah kongsi pekerja, kilang papan dan ladang ternakan ayam di sekitar Chalok, Jertih, Kuala Besut dan Penarik.

Daripada jumlah itu, lapan merupakan warga Indonesia manakala lima lagi warga Bangladesh.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa.
Menurut kenyataan itu, dua ladang ternakan ayam di Penarik merekodkan jumlah tangkapan tertinggi, masing-masing membabitkan tiga dan empat individu.
Dua warga Indonesia turut ditahan di sebuah rumah kongsi di Jertih, manakala dua lagi ditahan di sebuah kilang papan di Kuala Besut.Masing-masing seorang turut ditahan di kawasan pasar pagi di Chalok dan sebuah rumah kongsi di Kampung Anak Ikan.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.
JIM Terengganu berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di lokasi pekerjaan, kediaman dan premis yang menjadi tumpuan warga asing bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di negeri itu.