Berita :
UMT Lonjak Kedudukan Ke Kelompok 701–710 Universiti Terbaik Dunia
UMT Lonjak Kedudukan Ke Kelompok 701–710 Universiti Terbaik Dunia
Mastura Jamal Din
10 jam yang lepas
154

KUALA NERUS, 18 Jun - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak ke kelompok 701–710 universiti terbaik dunia dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2027 berbanding kedudukan 801–850 pada tahun lalu.

Naib Canselor UMT, Mohd Zamri Ibrahim berkata peningkatan itu meletakkan UMT dalam kalangan hampir 47 peratus universiti terbaik dunia, sekali gus mencerminkan kemajuan berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan, jaringan antarabangsa dan kelestarian di peringkat global.

Beliau berkata kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga universiti termasuk pensyarah, penyelidik, pelajar, alumni, kakitangan pentadbiran serta rakan strategik.

"Pencapaian ini amat bermakna kerana ia diraih ketika UMT meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam penarafan QS WUR 2027, UMT menunjukkan prestasi memberangsangkan menerusi beberapa indikator utama termasuk Citations per Faculty (CPF) yang mengukur impak dan pengaruh penyelidikan berdasarkan jumlah sitasi diterima.

Katanya, UMT berada dalam kelompok tujuh universiti terbaik di Malaysia bagi indikator itu dengan indeks sitasi per staf akademik sebanyak 159.5, jauh mengatasi median global 59.9.

Selain itu, UMT turut mencatat skor 67.5 bagi indikator International Research Network (IRN), manakala indeks IRN universiti sebanyak 48.5 mengatasi median global 41.0, mencerminkan keupayaan universiti membina jaringan kerjasama penyelidikan yang luas dengan institusi dan penyelidik antarabangsa.

Dalam aspek kelestarian pula, beliau berkata UMT memperoleh skor 63.9 bagi indikator Sustainability sekali gus menempatkan universiti itu dalam kalangan 10 universiti terbaik di Malaysia bagi aspek berkenaan.

"Sebagai universiti yang sinonim dengan bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan, pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan UMT sebagai institusi peneraju dalam pembangunan ilmu dan penyelesaian berasaskan sains bagi menangani cabaran berkaitan lautan, perubahan iklim dan pembangunan mampan," katanya.

Sepanjang tempoh penilaian QS WUR 2027, UMT merekodkan lebih 6,900 penerbitan saintifik dan melebihi 100,000 sitasi ternormal, menunjukkan keupayaan universiti menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi serta berimpak kepada komuniti akademik global.

Mohd Zamri berkata data QS turut menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UMT berada pada tahap memberangsangkan iaitu 92.1 peratus, mencerminkan keupayaan graduan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Beliau berkata kejayaan itu akan menjadi pemangkin kepada UMT untuk terus memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi, meningkatkan keterlihatan antarabangsa serta memperluas jaringan kolaborasi strategik bagi memastikan universiti kekal relevan dan kompetitif dalam landskap pendidikan tinggi global.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan