MARANG, 2 November – Bukit Lubuk Batu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjadi lokasi pembukaan Tour Gateh D’Tranung edisi ke-4 peringkat Daerah Marang pagi ini, melibatkan seramai 136 pelumba dari dalam dan luar negara.
Pegawai Daerah Marang, Zulkilfi Isa, melahirkan rasa gembira dengan pemilihan kawasan itu yang semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan baharu di daerah ini.

“Kami teruja dan bertungkus-lumus menyediakan kemudahan terbaik supaya pelumba dapat menikmati pemandangan serta suasana di sini dengan selesa,” tambahnya.
Zulkilfi turut mengajak orang ramai untuk datang sendiri menikmati keindahan Bukit Lubuk Batu dan destinasi menarik lain di sekitar Marang.
“Selain Bukit Lubuk Batu, kita ada Pulau Kapas yang hanya 10 minit dari sini dan Dataran Batu Putih. Marang penuh dengan tempat menarik untuk bersantai dan bergambar,” ujarnya.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu.