Berita :
Terengganu Cadang SUKMA Diteruskan Dengan Skala Kecil
Terengganu Cadang SUKMA Diteruskan Dengan Skala Kecil
Mohd Irsyadi Abu Bakar
19 jam yang lepas
60

KUALA TERENGGANU, 21 April - Terengganu berharap penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dapat diteruskan, sekalipun dengan skala lebih kecil dan terhad.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menjunjung kasih pandangan yang telah dikemukakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkaitan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ekoran faktor ekonomi, krisis Asia Barat dan seumpamanya. 

"Perkara ini, tentu sekali saya yakin pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menelitinya dengan lebih mendalam.

"Ia melibatkan tuan rumah. Jadi, bagi kita, kita tak boleh mencampuri urusan ini antara pihak Selangor dan juga pihak KBS. 

"Bagi pihak kita di peringkat kontinjen Negeri Terengganu, tentu sekali kita berharap ia diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut cadangan tersebut, beliau menyatakan bahawa pihaknya menghormati usaha untuk membuat penangguhan kerana faktor-faktor ekonomi semasa. 

"Mungkin pihak Majlis Sukan Negara (MSN) boleh meneruskan dengan format sepertimana penganjuran di Kuala Lumpur sebelum ini, kerana usaha untuk menjayakan SUKMA telah melibatkan satu perbelanjaan yang tinggi dan atlet-atlet yang pelbagai.

"Ada atlet yang menangguhkan pengajian, ada atlet yang menangguhkan kerja dan seumpamanya. 

"Jika ditangguhkan lagi, ia akan memberikan kesan banyak kepada atlet-atlet terlibat.

"Dalam masa yang sama, mungkin boleh dipertimbangkan penganjuran ini diteruskan dengan skala yang lebih kecil seperti pandangan Menteri KBS, Dr. Mohammed Taufiq Johari tempoh hari dan kita boleh meneliti aspek-aspek yang lain dalam menjamin penjimatan di peringkat penganjuran temasya," tambahnya.

Sebagai rekod, penganjuran SUKMA pada tahun 2022 diadakan secara berpusat di Kuala Lumpur. 

Pada asalnya, ia sepatutnya dianjurkan di Johor pada tahun 2020, namun ditangguhkan setelah dunia menghadapi pandemik COVID-19.

Dalam penganjuran tersebut, peraturan terpaksa dengan had umur atlet dilanjutkan dari 21 kepada 23 tahun ke bawah.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan