Berita :
Tanah 80 Hektar di Terengganu Dibangun Jadi Ladang Ternak Ayam Telur
Tanah 80 Hektar di Terengganu Dibangun Jadi Ladang Ternak Ayam Telur
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
192

KUALA NERUS, 10 Jun – Terengganu bakal muncul sebagai salah sebuah negeri pengeluar utama telur ayam di Malaysia menerusi pembinaan sebuah ladang penternakan ayam penelur berteknologi moden yang mampu mengeluarkan satu juta biji telur sehari.

Projek berimpak tinggi itu akan dibangunkan di atas tapak seluas 80 hektar di Mengabang Bakong, di sini, hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan syarikat pelabur tempatan, Huat Lai Resources Berhad.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, satu perbincangan telah diadakan bagi memperincikan terma-terma pelaksanaan projek berkenaan.

Menurutnya, rundingan tersebut melibatkan tiga pihak utama iaitu Kerajaan Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pihak pengurusan Huat Lai Resources Berhad.

"Perbincangan pagi ini adalah untuk memperincikan terma pelaksanaan projek agar ia dapat berjalan dengan lancar demi memantapkan keterjaminan makanan di peringkat negeri dan negara," katanya selepas sesi perbincangan ladang bersama Syarikat Huat Lai Recourses Berhad di Petaling Jaya, Selangor.


Mengulas lanjut mengenai rakan strategik projek tersebut, Dr. Azman menjelaskan bahawa tersebut merupakan peneraju utama dalam industri pengeluaran telur negara pada masa ini.

Syarikat berkenaan dilaporkan mempunyai kapasiti pengeluaran sedia ada yang amat besar, iaitu mencecah kira-kira 8 juta biji telur sehari.

Dalam rundingan tersebut, delegasi Syarikat Huat Lai diketuai oleh Pengarahnya, Lim Yeow Her, manakala FAMA pula diwakili oleh Pengarah Pemasaran Segar FAMA, Nukman Hashim.

Pelaksanaan projek ini dijangka bukan sahaja mampu memenuhi keperluan protein rakyat tempatan dengan harga yang lebih stabil, malah membuka peluang pekerjaan serta merancakkan lagi sektor agro-makanan di Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan