lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa dan melepak di tempat awam kerana perbuatan itu dianggap mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, buat masa ini tindakan kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati berkumpul di tempat awam seperti di Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat. “Peringkat awal ini kita akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua, kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Tular dalam media sosial baru-baru ini, foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok baru-baru ini berkata, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok pada waktu malam. Susulan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di kawasan berkenaan dengan memantau dan menutup taman itu supaya tidak dimasuki orang awam selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10 malam. - Bernama.
02 Jul 20
97
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 16 Mei - Seluruh kawasan Besut akan disinari cahaya apabila program Nur Ramadan 11.0 dilaksanakan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Penyelia i-MiTS Kawasan Besut, Hakim Zulfikri berkata, program itu adalah penanda aras sebagai tanda menzahirkan keprihatinan kepada asnaf di penghujung bulan yang mulia ini. “Setiap tahun program ini diteruskan di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan, Ramadan al-Mubarak. "Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada yang memerlukan di seluruh Besut secara berperingkat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 14 Mei. Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Belia Kota Putera, Suhaimi Mohd dan Pegawai IT i-MiTS Kota Putera Abdul Aziz Che Kop. Menurutnya, ini merupakan tahun yang kedua i-MiTS Kawasan Besut menjayakan program itu selepas beliau menyandang jawatan tersebut. Kata Hakim, orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan bagi sama-sama meningkatkan pahala bersedekah agar Ramadan yang akan berakhir membawa makna buat diri. "Program ziarah Nur Ramadan 11.0 ke rumah asnaf bermula 13 Mei di DUN Kuala Besut dan 14 Mei di DUN Kota Putera. “Insya-Allah kita akan teruskan di DUN Jertih dan Hulu Besut,” jelas Hakim.
02 Jul 20
62
FAMA Bantu 32 Usahawan Tembikai Dan Labu Manis Di Setiu
FAMA Bantu 32 Usahawan Tembikai Dan Labu Manis Di Setiu
SETIU, 25 Jun - Seramai 32 peserta yang mengusahakan 39.8 hektar ladang tembikai dan labu manis lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu membantu memasarkan sebanyak 654 tan metrik tembikai yang dianggarkan bernilai lebih RM512,000. Bantuan dalam bentuk perjanjian jual beli buah tembikai dan labu manis berkenaan dibuat bagi mengatasi masalah lambakan serta harga tembikai yang tidak menentu termasuk jaminan harga yang ditawarkan juga membantu pengusaha tembikai tetap beroleh keuntungan pada setiap musim. Sementara itu, Ketua Kelompok Tanaman Tembikai Rhu Sepuluh, Baharudin Ibrahim berkata perjanjian yang dibuat dengan FAMA memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran. Katanya, ia juga membantu meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac yang lalu disebabkan wabak pandemik Covid 19. "Sepatutnya penyemaian benih dilakukan lebih awal namun bila kerajaan umum PKP, semuanya terhenti menyebabkan hasil tidak dapat dituai mengikut tarikh yang sepatutnya.Dari segi kerugian, cuma melibatkan masa kerana lewat dan sekarang kami mula tabur benih secara berperingkat. “Harga di pasaran masih lagi bertahan lagipun hanya tembikai dari ladang di Rhu Sepuluh yang berada di pasaran setakat ini dan harga jualan di kebun cuma RM1.80 sekilo manakala harga di pasaran mampu mencecah RM3.50 sekilo,” ujarnya. Dia berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Antara FAMA Dengan Usahawan Ladang Kontrak MOA Negeri Terengganu di Kelompok Tanaman Rhu Sepuluh, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin dan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed. Bekalan tembikai dan labu manis tersebut akan dipasarkan di 40 pusat operasi di seluruh Malaysia termasuk 100 ‘outlet’ jualan runcit FAMA di seluruh negeri.
02 Jul 20
676
Md Zain Terima Anugerah Tokoh Guru Negeri
Md Zain Terima Anugerah Tokoh Guru Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Berpegang kepada kata-kata, lihat biar berupa, buat baru menjadi, kejar kualiti, inshaAllah akan datangnya  populariti, melayakkan  bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun, Md Zain Muda menerima pelbagai anugerah sepanjang 30 tahun perkhidmatannya  sebagai guru. Terbaru, anugerah Tokoh Guru Negeri  yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Sambutan Hari Guru yang disiarkan secara dalam talian di Wisma Darul Iman, di sini pagi ini. Md Zain berkata, anugerah yang diperoleh hari ini dan sebelum ini  datangnya daripada pertolongan Allah S.W.T dan juga rakan seperjuangan serta pelajar. Apa yang dilakukan mesti berniat baik terhadap Maha Esa selain memikul tanggungjawab sebagai amanah yang perlu diselesaikan Katanya, sekiranya semua itu ada dalam diri, pastinya tugasan akan menjadi mudah termasuk membentuk sahsiah, peribadi dan displin pelajar. “Sepanjang bertugas kebanyakan sekolah yang dipertanggungjawab adalah sekolah yang bermasalah dan mempunyai displin yang sangat teruk.  “Selepas mengadakan pelbagai program dan ubah displin guru dan  mendekatkan diri pelajar kepada Allah. Semuanya berubah sehingga pernah menerima anugerah displin terbaik peringkat negeri ketika berkhidmat di SMK Bukit Besi,” katanya yang berasal dari Kampung Alor Tempoyak. Dungun. Beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai guru pada Mei 2014 berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman  selepas program itu. Dengan anugerah itu, Md Zain layak menerima wang tunai RM6,000 sumbangan Exxonmobile (RM5,000) dan Bank Islam (RM1,000). Turut menerima anugerah,  Ngah Bidin kategori  Tokoh Kepimpinan Pendidikan,  layak membawa pulang wang tunai RM5,000 serta lapan lagi penerima bagi Tokoh Guru Daerah masing-masing menerima hadiah RM2,000. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, sambutan Hari Guru  2020 cukup berbeza kerana tanpa diraikan bersama pelajar dan rakan seperjuangan. Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri tetap menghargai jasa-jasa guru  walaupun sambutan kali ini hanya secara dalam talian bukan di dalam dewan yang besar seperti sebelum ini. “Saya percaya, guru dan pelajar pastinya ketika ini merindui suasana riuh rendah dalam bilik darjah, pelajar mahu mendengar suara guru secara berdepan dan guru pula mahu melhat keceriaan pelajar. “Apapun, saya berharap, semuanya bersabar dengan keadaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan kerajaan, harap akan kembali dan pulih seperti sedia kala agar pelajar dan guru dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa,”katanya.
02 Jul 20
174
Kotak Rezeki APM-REPSOL Ceriakan 80 Penerima
Kotak Rezeki APM-REPSOL Ceriakan 80 Penerima
KUALA NERUS, 17 Mei - Kembara Cakna Prihatin Aidlfitri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) - Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (REPSOL) Malaysia 2020 buat kali pertama bergabung tenaga untuk terus  komited dalam memberi bantuan kepada golongan asnaf supaya mereka tidak ketinggalan merasai suasana Aidilfitri seperti orang lain. Bantuan kotak berisi keperluan asas makanan harian atau kotak rezeki bakal menceriakan  sambutan Aidilfitri  buat 80 keluarga dari golongan kurang berkemampuan dan terjejas punca pendapatan akibat pelaksanaan Pengawalan Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac hingga kini. Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata kos keseluruhan program, barangan  sumbangan makanan, pengurusan dan logistik, melibatkan peruntukan sebanyak RM30,000 yang merupakan sumbangan daripada pihak REPSOL Malaysia. Katanya, sebahagian sumbangan ini dari pihak organisasi REPSOL Malaysia dan sebagaimana yang dimaklumkan hanya APM dan Rela sahaja yang diamanahkan untuk menjalankan program agihan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi tertentu. “Mini konvoi ini hanya melibatkan 10 buah motor sahaja yang akan bergerak bermula hari ini dan kita telah kenalpasti 10 keluarga setiap daerah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  yang melibatkan 80 keluarga selama empat hari di seluruh negeri Terengganu. “Jadi hari ini daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, diikuti hari seterusnya di Hulu Terengganu dan Marang, Dungun dan Kemaman dan yang terakhir besut dan Setiu melibatkan anggota seramai 40 orang dan bukan secara serentak manakala pihak polis telahpun dimaklumkan tentang program ini,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas gimik pelepasan konvoi di perkarangan Pejabat APM di Gong Badak, hari ini. Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan, Che Adam berkata beliau  berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kelima dan juga dengan ketibaan satu Syawal tidak lama lagi. ”Ini merupakan minggu  yang terakhir bulan Ramadan  dan akan sambut Aidilfitri minggu depan jadi kita mengharapkan sumbangan ini dapat menceriakan  suasana kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk  menyambut Aidilfitri nanti. “Disamping bahan masak, barang mentah dapur dan sedikit kuih raya, kita sediakan facemask dan hand sanitizer untuk mereka ikuti langkah-langkah  yang telah disarankan oleh pihak kerajaan,”ujarnya. Sementara itu, salah seorang penerima di Kampung Pengkalan Berangan, Tepuh, Sudin Awang, 80, begitu teruja apabila menerima kotak rezeki yang disifatkan mampu meringankan beban yang ditanggung terutama waktu sukar berhadapan dengan PKPB. “ Alhamdulillah syukur atas rezeki ini yang tidak pernah putus kepada pak cik sekeluarga.Insha Allah dapatlah sambut raya dengan lebih meriah walaupun sehari je kerajaan bagi demi menjaga keselamatan orang ramai,”katanya.
02 Jul 20
65
Terengganu Berjaya Majukan Sosioekonomi, Kurangkan Pengangguran
Terengganu Berjaya Majukan Sosioekonomi, Kurangkan Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sosioekonomi di Terengganu tahun lalu berada pada landasan baik setelah berjaya mengurangkan kadar pengangguran ke bawah paras 4.0 peratus. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kadar orang yang tidak bekerja pada 2019 turun kepada 3.5 peratus berbanding 2018 yang merekodkan 4.8 peratus. Menurutnya, penurunan 1.3 peratus itu kebanyakkannya disumbang oleh sektor pembuatan dengan jumlah guna tenaga dalam sektor berkenaan melonjak kepada 3,274 orang sehingga Oktober 2019 berbanding 966 pada 2018.   “Di samping pada tahun lalu kita merekodkan 103,500 pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi terutamanya sebagai pengurus, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu. “Sekali gus ia menunjukkan kenaikan selepas hanya 102,100 dan 100,400 pekerja masing pada tahun 2018 dan 2017,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Mengulas tentang peluang perniagaan di Terengganu pula, trend kenaikan yang sama turut dapat disaksikan apabila berlaku pertambahan kepada 37,666 pada 2018 berbanding 37,246 pada tahun sebelumnya. “Manakala pada 2019 hampir semua sektor mencatatkan pertambahan peratus berbanding pada 2018, antaranya ialah sektor perkhidmatan (6.89 peratus), pembinaan (6.37 peratus), pembuatan (18.64 peratus), pertanian (8.62 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (17.51 peratus). “Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita pada 2018 yang meningkat kepada RM30,216 daripada RM29,347 (2017) dan RM27,268 (2016) menunjukkan keselarian dengan peningkatan terbabit, selain pendapatan purata isi rumah bulanan turut meningkat kepada RM6,737 pada 2018 berbanding RM6,238 pada 2017 dan RM5,776 pada 2016, ia t,” jelas beliau. Sementara itu, kajian Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) mengesahkan perkembangan positif berkenaan dengan mengatakan kejayaan meningkatkan projek pada 2018 kepada 12 projek di negeri itu adalah penyumbang utama. Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Wan Mat Sulaiman berkata jumlah anggaran pelaburan mencecah RM4.9 bilion dan melibatkan 2,096 pekerjaan berbanding hanya RM177.8 juta dengan 344 pekerjaan pada 2017. “Selain itu, usaha meraih hasil juga dapat dilihat menerusi pengeluaran pada 2018 kayu balak getah meningkat kepada 23,796 metrik tan (2017 : 7,152), padi 74,914 metrik tan (2017 : 69,319) dan kenaf 1,731.6 metrik tan (2017 : 830.2). Jumlah ternakan kerbau, lembu, kambing dan bebiri juga meningkat kepada 134,401 pada 2018 berbanding 129,399 pada 2017. “Justeru, kenyataan rasmi seorang pemimpin daripada sebuah parti politik di Terengganu beberapa hari lalu adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi yang sebenarnya,” tambah beliau.
02 Jul 20
221
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
MARANG,  24 Jun - Gangguan bekalan air yang membelenggu kira-kira 300 penduduk di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, di sini bakal berakhir selepas Syarikat Air Terengganu (SATU) bersetuju membina tangki simpanan dalam tempoh terdekat. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya bersetuju membina tangki simpanan bernilai RM100,000 itu menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR). Katanya, kawasan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut sudah dikenalpasti dan proses pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh terdekat. “Sekiranya tiada sebarang masalah teknikal terutama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk di kawasan ini boleh mendapatkan bekalan air bersih sebelum Aidiladha ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada  Program bual bicara SATU bersama penduduk SPKA Wakaf Tapai di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Menurut Ir Atemin, apa yang dialami penduduk di kawasan itu terutama membabitkan 20 keluarga adalah disebabkan kawasan berbukit-bukit, selain tinggal di tempat yang tinggi. “Paip utama yang sedia ada tidak dapat membekalkan air di kawasan itu lebih-lebih lagi ketika di waktu puncak. “Pihak kami berharap penduduk terbabit  bersabar kerana pembinaan tangki simpanan air itu memerlukan penelitian, penggunaan alat ganti ditempah khas dan bukan boleh dibeli mana-mana kedai,” katanya. Beliau turut memberitahu, Marang antara daerah yang turut disenaraikan bakal menerima loji air bernilai RM500 juta bagi menampung keseluruhan penduduk. “Daerah itu sebelum ini mendapatkan bekalan air dari loji air Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. “Pihak kami tidak dapat membina loji di Marang kerana pelbagai faktor antara sungai yang ada tidak dapat membekalkan air secukupnya, selain berdepan masalah kawasan berbukit,” katanya.  
02 Jul 20
92
325 Terima Sumbangan KETENGAH Sempena Ramadan Di DUN Ajil
325 Terima Sumbangan KETENGAH Sempena Ramadan Di DUN Ajil
Oleh: Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 16 Mei - Bertemakan  Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah Sempena Bulan Ramadan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) meraikan 325 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya di Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil. ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata inisiatif sumbangan yang dihulurkan KETENGAH dapat meringankan beban kepada mereka yang terlibat lebih-lebih lagi menjelang hari raya yang berbaki lapan hari sahaja lagi. "Penerima pula dapat memanfaatkan sumbangan yang diterima bagi membeli keperluan hari raya. "Saya juga berterima kasih kepada KETENGAH kerana aktiviti sumbangan ini bagaikan satu tradisi yang mana dijalankan sejak dahulu lagi menfokuskan sumbangan kepada fakir miskin,anak yatim dan golongan kurang upaya,"ujarnya ketika menyampaikan sumbangan berkenaan di Kampung Lubuk Batu dan Kampung Peroh, Ajil semalam. Turut hadir Pengurus Pembangunan Masyarakat & Sosial Ketengah, Che Zamri Che Lah , KETENGAH memperuntukkan RM700,000  bagi 3,500 penerima yang terdiri dari golongan asnaf, anak yatim dan kurang upaya melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu untuk Aidilfitri tahun ini. Sementara itu, penerima asnaf  Mat Jusoh Deraman, 75, terharu serta bersyukur menerima sumbangan Aidilfitri dan  bantuan itu akan dibelanjakan untuk membeli barangan dapur sempena Ramadan. Bantuan itu juga katanya dapat digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri. Fauzi Ngah, 56, yang juga penerima terpilih berkata tidak ada apa yang mampu diluahkannya selain rasa syukur kepada Allah atas keprihatinan KETENGAH yang memberi bantuan. Dalam nada gembira, Fauzi mengucapkan terima kasih kepada Adun Ajil kerana prihatin dan sudi mengunjunginya untuk menyampaikan sumbangan, sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggungnya.  “Alhamdulilah, saya terharu kerana dipilih menerima sumbangan ini. Pemberian wang tunai ini akan digunakan sebaiknya kerana tiada punca pendapatan.” katanya.
02 Jul 20
235
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Berita yang tular di media sosial mengenai seorang peniaga durian di Wakaf Tembesu positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah palsu. Menurut JKNT, setakat ini tiada pesakit wabak tersebut yang dirawat di HSNZ sebaliknya hospital itu hanya menerima seorang pesakit lelaki yang mengalami gejala ‘Severe Acute Respiratory Infection’ pada 20 Jun lalu. Keputusan ujian PCR Covid-19 bertarikh 21 Jun juga menunjukkan pesakit tersebut negatif  COVID-19.
02 Jul 20
87
Kerajaan Pertimbang Beri Kelonggaran Kepada Penjaja Jalanan
Kerajaan Pertimbang Beri Kelonggaran Kepada Penjaja Jalanan
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri sedia memberi kelonggaran sementara kepada penjaja jalanan termasuk yang berniaga di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, kebenaran itu diberikan selepas peniaga termasuk penjaja mengalami kemerosotan jualan ekoran pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun tegasnya, langkah tersebut tidak bermaksud kerajaan membenarkan aktiviti itu dijalankan dengan tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). “Kita memahami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga sekarang semua orang susah disebabkan pergerakan terbatas. “Jadi, kita mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada rakyat dalam tempoh dua bulan ini untuk menjana kembali pendapatan mereka. Kita juga berbincang dengan pihak penguat kuasa untuk tidak mengambil tindakan kepada penjaja jalanan,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian. Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, setiap penjaja perlu mengikut peraturan ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan. “Undang-undang ada, sebab itulah mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan. Jika tidak mengganggu lalu lintas biarlah mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup. “Namun, peraturan seperti lalu lintas dilanggar, PBT akan arahkan mereka untuk berpindah ke tempat lain, bukan merampas barangan yang dijual,” katanya. Sebelum ini kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Lalu Lintas 1959 serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993. Katanya, kerajaan dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengenal pasti mekanisme terbaik untuk membantu penjaja jalanan selepas larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu. “Antaranya kita tawarkan kiosk kepada penjaja terbabit, kita juga mengalu-alukan kepada pengusaha-pengusaha datang ke YPU bagi berbincang dan mencari jalan terbaik bagi memajukan perniagaan mereka,” tambah beliau.
02 Jul 20
128