Artikel "Pendidikan" Terkini
Dari Sekolah ke Dunia: I-DEWS Bukti Inovasi Pelajar Imtiaz Berimpak Global
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu (IKT) meraih emas di pertandingan World Sustainable Development Goal Challenge 2025 (WSDG 2025) bukan sekadar pencapaian antarabangsa, malah membuka peluang untuk projek berimpak sosial itu dikembangkan lebih jauh.
Rekaan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS) yang telah dibawa ke WSDG 2025 oleh tiga pelajar tingkatan dua – Aira Nur Maisarah Abdullah Fuad, Nur Aeisya Khadija Mohd Yazid dan Ummu Sofiyyah Abdul Mubin, merupakan cetusan idea guru IKT bidang TVET, Suryana Mat Husin.
Dari kiri: Aira, Aeisya dan Ummu
Pengetua IKT, Md Imran Md Nor, berkata pihaknya berhasrat untuk terus menaik taraf teknologi tersebut agar lebih praktikal dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat umum.
"Ya, kami berfikir untuk menaik taraf unit penapisan yang sebelum ini menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti sabut kelapa, pasir halus dan arang buluh yang telah diklarifikasi oleh Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), UNISZA.
"Kami bercadang untuk menambah baik unit penapisan sehingga air yang ditapis dapat diminum oleh manusia. Kami juga berfikir untuk menaik taraf sistem penjanaan elektrik.
"Selain itu, kami juga akan cuba menurunkan kos pembuatan supaya I-DEWS dapat dimiliki semua," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas dihubungi, baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi kecerdasan buatan (AI) akan membantu menjadikan sistem lebih efisien dan bersifat automasi.
"Dengan penambahbaikan AI dalam produk kami, AI dapat mengawasi sistem I-DEWS tanpa memerlukan pengawasan seseorang. Dengan ini, pengguna tidak perlu untuk mengendali secara manual kerana sifat 'autonomous' yang AI dapat berikan.
"AI juga boleh memberi ramalan untuk sistem I-DEWS sekiranya terdapat perubahan dalam sistem ini secara keseluruhannya. Kesannya, pengguna mengetahui apa yang patut ditambah baik dan diubah," jelasnya.
I-DEWS pada peringkat awalnya hanyalah sistem penapisan air, namun melalui penambahbaikan bersama pelajar IKT ia diinovasikan menjadi sistem penapisan air dan penjanaan tenaga yang menggunakan graviti serta turbin air dalaman.
Pembentangan secara maya oleh pelajar IKT mengenai I-DEWS; bertajuk 'WSDG 2025 I-DEWA SM IMTIAZ YT KUALA TERENGGANU' di laman sesawang Youtube
"I-DEWS merupakan satu sistem air yang boleh mengitar semula air gunaan selain dari air kumbahan untuk kegunaan luaran seperti menyiram pokok, membasuh pinggan dan membasuh kereta. Air yang dikitar semula tidak boleh diminum terus setelah ditapis.
"I-DEWS juga menggunakan sistem hydroelectric untuk menjana tenaga hanya dengan menggunakan graviti. Air digerakkan secara automatik oleh graviti dan dapat bergerak tanpa henti. Teknik ini dinamakan teknik siphon," ulas Md Imran.
Tambahnya, IKT turut merangkul satu lagi penghargaan emas dan satu penghargaan istimewa dalam penyertaan mereka WSDG 2025 yang telah berlangsung pada bulan lepas.
Rekaan tersebut sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025, namun penambahbaikan berterusan menjadikan rekaan itu kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Katanya lagi, usaha tersebut membuktikan kreativiti dan inovasi pelajar IKT bukan sahaja mampu mengharumkan nama sekolah, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan masyarakat dalam kehidupan harian.
02 Oct 25
37
UC TATI Anjur Program 'CultureNConnect' Perkukuh Jalinan Antarabangsa
KEMAMAN, 10 September - University College TATI (UC TATI) telah menganjurkan program CultureNConnect sebagai usaha memperkasa hubungan antarabangsa melalui aktiviti pertukaran bidang dan bahasa bersama institusi luar negara.
Pendaftar UC TATI, Hanyza Ahmad berkata Program tersebut melibatkan seramai 13 peserta antarabangsa dari Mie University, Jepun serta 15 pelajar UC TATI yang bertindak sebagai peserta tempatan dan pengendali program sepanjang ia berlangsung.
"Dalam program yang diadakan ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pembelajaran bahasa, pertukaran budaya dan lawatan kebudayaan sekitar Terengganu yang menekankan aspek kefahaman silang budaya," ujarnya ketika menyempurnakan perasmian program terbabit, di sini, baru-baru ini
Turut hadir, Profesor Emeritus Mie University, Prof. Dr.Masataka Kubo dan Profesor Fakulti Kemanusiaan, Undang-Undang dan Ekonomi Mie University, Prof. Dr. Hirokazu Ajiki.
Dalam pada itu, Hanyza berharap agar program tersebut berjaya mencapai matlamat dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik.
"Selain memupuk hubungan mesra antara UC TATI dan Mie University di peringkat antarabangasa," ujar beliau.
10 Sep 25
93
Home Guard Lambang Kesatuan Rakyat Gapai Kemerdekaan
Kehadiran segerombolan Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau lebih dikenali sebagai 'Home Guard' ternyata mencuri tumpuan dalam Perarakan dan Perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Terengganu.
03 Sep 25
89
32 Pelajar Cemerlang STPM DUN Tepoh Terima Anugerah Kecemerlangan
KUALA NERUS, 24 Ogos – Seramai 32 pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Tepoh 2024 yang berlangsung di Restoran BB Seafood, Kubang Badak, baru-baru ini.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh itu bertujuan menghargai pencapaian pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam STPM selain meraikan mereka yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim yang hadir menyempurnakan majlis tersebut turut menyampaikan anugerah kepada para pelajar terlibat.
“Kejayaan anak-anak ini adalah bukti bahawa usaha gigih pasti membuahkan hasil. Saya berharap mereka terus melangkah lebih jauh dan kembali menyumbang kepada masyarakat. Kerajaan Negeri Terengganu akan terus menyokong pembangunan pendidikan anak-anak Terengganu dan berusaha gigih melalui pelbagai medium untuk memberikan sokongan,” ujarnya.
Setiap pelajar yang diraikan menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan, plak serta cenderahati sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen mereka dalam bidang akademik.
Majlis ini menjadi antara inisiatif tahunan PKM DUN Tepoh dalam membudayakan kecemerlangan akademik dan memperkukuh peranan pendidikan sebagai teras pembangunan komuniti setempat.
24 Aug 25
82
Pelajar SMIDI Guna Tablet Mulai Tahun Hadapan
KUALA NERUS, 24 Ogos – Bermula tahun hadapan, semua pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) akan mula menggunakan tablet dalam sesi pembelajaran sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menerapkan digitalisasi menuju agenda Pendidikan Sejahtera 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, berkata langkah ini bagi memastikan sekolah milik kerajaan negeri sentiasa seiring dengan arus pendidikan perdana.
“Bermula awal tahun depan, semua pelajar baharu SMIDI akan dibekalkan tablet kerana kita mahu memanfaatkan teknologi maklumat (IT) semaksimum mungkin dalam proses pembelajaran.
“Bagi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kita akan memperkenalkan asas-asas IT dengan menyiapkan makmal IT di setiap sekolah. Walaupun tidak diwajibkan pada peringkat awal, namun di SMIDI penggunaan makmal IT adalah wajib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Warga Pendidik JPINT di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pihak pengurusan sekolah turut perlu bersiap sedia menyediakan infrastruktur dan kelengkapan bagi memastikan penggunaan teknologi dapat dimaksimumkan.
Mengulas lanjut, Satiful berkata usaha ini diharap memberi manfaat besar kepada pelajar dan seterusnya meningkatkan kualiti pendidikan negeri.
“Selain itu, kita juga mahu memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi juga di sekolah milik kerajaan negeri.
“Langkah ini termasuk mewujudkan kelas sains tulen agar sekolah-sekolah di bawah JPINT tidak ketinggalan,” ujarnya.
24 Aug 25
179
Dr. Sam Hairan Insiden Bendera Terbalik Makin Kerap
Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan.
07 Aug 25
107
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
06 Aug 25
50
UC TATI Sasar Kerjasama Strategik Dengan FOZ One Tingkat Kemahiran Pelajar
SENAI, 5 Ogos – Peluang menjalani latihan industri di syarikat berteknologi tinggi, FOZ One, diyakini mampu memperkukuh kemahiran dan meningkatkan daya saing graduan Universiti Kolej TATI (UC TATI), khususnya dalam bidang reka bentuk dan pembuatan acuan (tool and die).
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, lawatan ke syarikat tersebut baru-baru ini memberikan gambaran jelas bahawa FOZ One memiliki fasiliti serta teknologi moden yang amat sejajar dengan program teknikal yang ditawarkan di institusi berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan telah diadakan bagi membuka peluang kepada pelajar UC TATI untuk menjalani latihan industri di FOZ One, dengan harapan ia juga dapat membuka laluan kepada penempatan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Saya melihat ini sebagai peluang yang sangat baik kerana pelajar UC TATI telah dibekalkan dengan kemahiran dalam bidang tool and die design serta tool and die making.
“Selain latihan industri, saya turut berbincang mengenai peluang untuk pelajar menjalankan projek penyelidikan di syarikat ini, sama ada di peringkat projek tahun akhir atau pascasiswazah,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyertai lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke FOZ One, baru-baru ini.
Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dato’ Ariffin Deraman.
Dalam pada itu, Dr. Hairul Azhar turut menyeru anak-anak Terengganu untuk melanjutkan pengajian di UC TATI yang menawarkan program berteraskan kemahiran tinggi serta relevan dengan keperluan industri masa kini.
05 Aug 25
102
Pakar Nefrologi Tokoh Maal Hijrah Terengganu
Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan IDMD Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ghazali Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1447H sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.
29 Jun 25
78
163 Pelajar Cemerlang SPM, STAM 2024 Terima Pengiktirafan
KUALA NERUS, 25 Jun - Seramai 163 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Peringkat DUN Tepoh 2024 yang diadakan di Dewan Utama, Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu semalam.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh ini bertujuan meraikan dan memberi penghargaan atas kejayaan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan STAM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menyempurnakan majlis dengan menyampaikan sijil penghargaan, wang tunai, plak dan hadiah iringan kepada semua pelajar yang diraikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha gigih para pelajar, sokongan ibu bapa serta dedikasi para pendidik dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia.
“Kejayaan ini bukan noktah terakhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Insya-Allah, mereka akan melangkah ke peringkat lebih tinggi, sama ada dalam bidang akademik, teknikal mahupun pengajian agama.
“DUN Tepoh akan terus menyokong usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti yang menjadi aset penting negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Faridah Yahya yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus serta Penghulu Mukim Wakaf Tembesu, Muhammad Naim Jasmi.
Salah seorang pelajar cemerlang, Mohd Hafizuddin Mohd Madhan dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh pihak DUN Tepoh.
Pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 itu berkata, inisiatif seumpama ini menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan-rakan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang ilmu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutamanya YB ADUN, guru-guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi satu motivasi untuk saya terus berjaya,” ujarnya.
26 Jun 25
70