lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Terengganu Inc Tarik Pelabur Menerusi Projek Berimpak Tinggi
Terengganu Inc Tarik Pelabur Menerusi Projek Berimpak Tinggi
Syarikat induk pelaburan strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc, tekad menarik para pelabur dan mengembangkan landskap ekonomi negeri menerusi peluang pelaburan dalam pelbagai projek seperti projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Utara.
30 Aug 22
217
Terengganu Jadi Negeri Pilihan Pelabur
Terengganu Jadi Negeri Pilihan Pelabur
KUALA LUMPUR, 29 Ogos -Terengganu mencatatkan rekod pelaburan sebanyak RM2.3 billion dengan 29 projek pembuatan diluluskan dari 2017 sehingga Jun 2022 dan menjadi antara negeri pilihan para pelabur.  Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Mr Sivasuryamoorthy Sundara Raja berkata, lebih separuh daripada pelaburan terbabit melibatan sumber asing dengan mencatatkan rekod berjumlah RM1.27 bilion.  "Projek-projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam, kayu dan produk kayu, serta mesin dan peralatan. "Selain itu, dari Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM 7.2 juta telah diluluskan dalam industri pembuatan makanan dan produk kayu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential - A Briefing by Invest Terengganu di Perdana Hall, MIDA.  Sivasuryamoorthy berkata, MIDA gembira melihat syarikat terkenal memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan berpengalaman Terengganu yang mantap. Beliau berkata, antara syarikat yang terlibat adalah JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Syarikat Bitumen Kemaman Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd, dan Eastern Steel Sdn Bhd. "Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang untuk perniagaan tempatan kita. "MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat dan perniagaan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi meningkatkan peluang pertumbuhan," katanya.  Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menambah lebih banyak taman perindustrian iaitu Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Lembah Silika Terengganu.  "Ini adalah satu lagi langkah ke arah memastikan terdapat prospek yang baik bukan sahaja sekarang tetapi pada masa hadapan di Terengganu," ujarnya.     
25 Aug 22
344
Terengganu Miliki Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif
Terengganu Miliki Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif
KUALA TERENGGANU, 14 Ogos- Berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) yang telah dikenalpasti terdapat di Terengganu. Selain negeri ini, ia juga dikenalpasti terdapat di sekitar kawasan pedalaman Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka. Pembangunan NR-REE di Malaysia ini akan menjadi peluang baharu yang harus digunakan sebaiknya oleh pihak kerajaan bagi merancakkan semula industri mineral negara. Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peluang berkenaan sewajarnya dimanfaatkan oleh kerajaan kerana harga mineral itu bakal  melonjak besar dalam tempoh dua dekad kelak. Jelasnya, jika dinilai daripada trend semasa, pengeluaran sumber berkenaan dijangka akan terus meningkat dan akan menjadi keperluan utama kepada ledakan bidang Revolusi Industri Keempat (4IR). "Berdasarkan penemuan sumber NR-REE yang bernilai tinggi ini, saya yakin negara kita mampu untuk bersaing di peringkat global bagi menjadi pemain utama serantau dalam membekalkan sumber ini. "Rantaian pengeluaran domestik tidak hanya akan menguntungkan rakyat Malaysia, tetapi turut dapat menarik minat pelaburan asing, terutama ketika ekonomi dunia berusaha mempelbagaikan sumber bekalan mereka selain dari negara China," katanya dalam ucapan perasmian Simpomin NR-REE Kali Ke-10, di Putrajaya, kelmarin. Mengulas lanjut katanya, kementeriannya sudah menetapkan beberapa sasaran utama yang merangkumi penumpuan terhadap pembangunan keseluruhan rantaian nilai NR-REE khusnya bagi peringkat pertengahan dan hiliran. "Antarnya penggunaan sumber NR-REE secara optimum melalui penghasilan nilai tambah produk mineral tempatan, menarik kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara bagi mewujudkan industri yang memiliki rantaian mineral yang lengkap dan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam industri ini. "Terutamanya dari aspek pemindahan teknologi, Kepakaran dan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dan akan turut membuka peluang pekerjaan melalui pewujudan ekosistem pembangunan industri mineral dan mengekalkan kelestarian alam sekitar. "Melalui amalan prinsip perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan,"ujarnya. Ujarnya lagi, harganya juga dijangka akan meningkat sehingga 700 peratus kerana mendapat permintaan yang tinggi. "Kerana bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk sektor pembuatan terutamanya bagi penghasilan kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi,pembuatan kaca dan banyak lagi produk," katanya.  
14 Aug 22
3647
ECERDC Lahir 2,447 Usahawan Di Terengganu
ECERDC Lahir 2,447 Usahawan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan 2,447 usahawan di bawah bimbingannya di Terengganu sejak 2018. Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata melalui program ini, pihaknya membangunkan modal insan, terutama dalam golongan B40, penganggur, suri rumah yang berkelapangan dan mereka yang memerlukan bimbingan perniagaan. "Kita menggabungkan elemen latihan dan bimbingan dengan memberikan pendedahan tentang pengetahuan teknikal, kemahiran pengurusan serta kemahiran berkaitan pemasaran digital bagi membantu mereka menjalankan perniagaan secara formal. "Dalam masa yang sama pihak kami mewujudkan satu jalinan kerjasama dengan universiti setempat bagi memberi tunjuk ajar kepada peserta,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan dan Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan Program Pembangunan Usahawan Mikro Baharu Empower ECER, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Dalam majlis tersebut, seramai 450 peserta dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu, menerima kit permulaan perniagaan bernilai RM1,500 dalam bentuk barangan. Menurutnya, kesemua peserta tersebut akan diberi bimbingan berterusan dari peringkat memulakan perniagaan hingga ke pemasaran produk. Tambahnya, ECERD juga menyasarkan pelaburan sehingga RM70 bilion, 120 ribu peluang pekerjaan dan 60 ribu peluang perniagaan di wilayah ini bermula 2018 hingga 2025. "Tiga elemen penting menjadi tumpuan iaitu membawa masuk pelaburan, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan di wilayah Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) di Kelantan,Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor," ujar beliau. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata agenda kesejahteraan rakyat akan terus diperkukuhkan menerusi penyediaan fasilitasi serta kemudahan kepada usahawan dan bakal usahawan termasuklah mereka yang menjalankan perniagaan secara tidak formal. "Pada tahun 2022, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta dibawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera  (TUGAS) khusus bagi pengukuhan kepada usahawan mikro di Negeri Terengganu yang diuruskan dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). "Kita juga telah memperuntukkan sejumlah RM2.0 juta bagi Program Tunas Usahawan khususnya kepada para belia.  "Ini termasuk pelbagai aktiviti keusahawanan termasuklah latihan, promosi, penyediaan infra bimbingan berterusan terus dilaksanakan oleh agensi dibawah kerajaan negeri serta agensi persekutuan di Negeri Terengganu," katanya.    
04 Aug 22
596
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
Keunikan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Replika Bot Dengan Alat Kawalan Jauh boleh berhubung terus dengan Asrol di talian 01112909836
09 Jul 22
583
Terengganu, ECERDC Sasar Tarik Pelaburan RM5 Bilion Dari Korea
Terengganu, ECERDC Sasar Tarik Pelaburan RM5 Bilion Dari Korea
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kerajaan Terengganu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk menarik pelaburan berpotensi dari Korea Selatan yang dianggarkan bernilai RM5 bilion. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat telah ke Korea Selatan pada bagi mempromosi wilayah ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan. Baidzawi berkata, misi lawatan ke negara terbabit bermula dari 25 Jun hingga 2 julai adalah kesinambungan komunikasi berterusan antara pihaknya dengan pelabur sasaran di Korea Selatan sejak tahun lalu. Beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat di Korea Selatan akan melabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), khusunya di Terengganu. "Pelaburan daripada firma terkemuka di negara berkenaan yang terbabit dalam sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan bahan termaju berpotensi untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu. "Rakan kongsi strategik kami turut sama menyertai delegasi ini bagi memudahcara proses rundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekali gus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur," ujarnya dalam satu kenyataan, kelmarin. Semasa berada di sana, menurut Baidzawi delegasi telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari subsektor berpotensi lain yang turut menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). "Misi ini dijangka mampu mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada kalangan syarikat Korea Selatan ke ECER dan pihak ECERDC menghargai sokongan yang diberikan oleh pihak MIDA di Seoul sepanjang misi ini,"ujarnya. Untuk rekod, Korea Selatan merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM79.78 bilion pada tahun 2020.
07 Jul 22
426
Rakyat Terima Manfaat Projek Perlombongan Bijih Besi
Rakyat Terima Manfaat Projek Perlombongan Bijih Besi
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Rakyat Terengganu akan menerima limpahan manfaat daripada aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun yang diusahakan Qew Group Bhd (QCB) dengan tiga syarikat lain. Pengerusi Eksekutif QCB, Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad berkata, tiga syarikat yang akan bekerjasama dengan pihaknya itu ialah, Cahaya Kurnia Sdn Bhd, imbasan Damai Sdn Bhd dan Prospect Global Resources Sdn Bhd. Beliau berkata, projek berskala besar  dengan Kos Pembangunan Kasar (GDC) sebanyak RM800 juta itu akan meningkatkan ekonomi setempat yang merupakan jangkaan pihaknya bagi aktiviti perlombongan di kawasan seluas 243  hektar dalam tempoh lima tahun akan datang. "Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan selain memberikan jalinan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setempat. "Projek pembangunan ini mampu menjana pendapatan lumayan yang boleh dikongsikan bersama pemegang saham utama, pemegang taruh, rakan kongsi dan rakyat dan ia akan memberikan kesan ekonomi yang menyeluruh," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam taklimat media QCB di Kuala Lumpur, sebagaimana dilaporkan Berita Harian, semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya berkeyakinan ia akan memberikan kesan positif yang siginifikan kepada pendapatan kumpulan kerana perlombongan itu mempunyai prospek yang tinggi berdasarkan harga pasarannya ketika ini serta permintaan tinggi dalam pasaran global. "Berasarkan kebiasaan dalam aktiviti perlombongan, hasil daripada nilai pelaburan adalah sebanyak tiga kali ganda," ujarnya lagi.
06 Jul 22
2482
Taman Rekreasi Agro Darau Mampu Lonjak Potensi Besut
Taman Rekreasi Agro Darau Mampu Lonjak Potensi Besut
Pembukaan Taman Rekreasi Agro Darau, yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini akan membuka ruang percambahan ekonomi di kawasan Hulu Besut.
12 Jun 22
564
Inovasi Tempatan Tembusi Peringkat Global
Inovasi Tempatan Tembusi Peringkat Global
Banyak produk Inovasi tempatan berjaya menembusi pasaran di peringkat antarabangsa.
06 Jun 22
398
Koperasi Berperanan Tingkatkan Ekonomi Rakyat
Koperasi Berperanan Tingkatkan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Bermula 1922, gerakan koperasi mula diperkenalkan dan telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi Negara.  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, sebagai usaha mengatasi masalah penindasan oleh orang tengah, koperasi diperkenalkan sebagai organisasi yang berdikari dalam memajukan kehendak sosio-ekonomi anggota-anggotanya. "Sehingga kini, Gerakan Koperasi telah memasuki pelbagai bidang ekonomi dan menjalankan pelbagai fungsi seperti perumahan, pengangkutan, kemajuan tanah, insurans, percetakan dan perkhidmatan bank. "Dimaklumkan bahawa sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 773 buah koperasi telah didaftarkan di Terengganu, dengan jumlah keanggotaan berjumlah 246,333 orang, jumlah aset bernilai RM680 juta dan jumlah perniagaan koperasi bernilai RM360 juta. "Jumlah ini didapati meningkat jika dibandingkan pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan sambutan yang baik oleh masyarakat terhadap konsep berkoperasi, lebih-lebih lagi apabila proses penubuhannya yang semakin dipermudahkan," katanya.  Beliau kerkata demikian ketika berucap Merasmikan Majlis Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Terengganu, Sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi yang diadakan di The Payang Scout Hotel (Scout Inn), Teluk Ketapang, Kuala Nerus, kelmarin.  Turut sama hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar Dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Umar Sarim Saidin, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Aznan Abdul Aziz, Pengarah Institusi Koperasi Malaysia Zon Timur, Puan Haslinda Sujak dan para tetamu semua. Katanya lagi, Sambutan Hari Koperasi tahun ini yang bertemakan '100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia' mencerminkan bahawa koperasi telah matang dan perlu terus bergerak ke hadapan dengan menggunakan kemahiran untuk menjana peluang-peluang perniagaan. "Tambahan lagi ketika ini, peluang-peluang perniagaan terbuka luas dalam sektor pertanian, ternakan, perkhidmatan dan perindustrian. Jika kita tidak mampu di segi modal, kita bergabung melalui koperasi untuk merebut peluang-peluang tersebut," jelasnya.  
27 May 22
460