Jalur Gemilang
Berita :
SMIPA Perkasa Promosi Terengganu ke Persada Antarabangsa
SMIPA Perkasa Promosi Terengganu ke Persada Antarabangsa
Rohayati Ripin
23 jam yang lepas
141

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Penganjuran Sultan Mizan International Photography (SMIPA) akan terus dikembangkan sebagai platform mempromosikan keindahan dan keunikan negeri ini ke peringkat antarabangsa menjelang kempen Visit Terengganu 2027.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin bin Tengku A. Rahman berkata, fotografi mempunyai potensi besar untuk memperkenalkan tarikan pelancongan negeri menerusi perkongsian gambar di media sosial dan platform digital.

Menurutnya, perkembangan teknologi membolehkan keindahan Terengganu, merangkumi tarikan di daratan dan bawah air, dikongsikan kepada masyarakat global dengan lebih pantas.

“Sekarang ini, dengan satu klik sahaja, maklumat dapat tersebar ke seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah SMIPA 2025 di Taman Tamadun Islam di sini pada 19 Oktober.

Mengulas lanjut, Tengku Mohd Arifin berkata, enam kluster pelancongan utama negeri menjadi asas dalam mengetengahkan kepelbagaian tarikan Terengganu menerusi karya fotografi.

Jelas beliau, gambar yang merakamkan keunikan setiap kluster itu boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial bagi memperluas capaian promosi pelancongan negeri.

Edisi sulung SMIPA menarik penyertaan 202 peserta, termasuk sembilan peserta antarabangsa dari China, Vietnam dan Singapura.

Pertandingan itu sebelum ini dikenali sebagai Sultan Mizan Underwater Photography Award sepanjang dua tahun penganjurannya.

Menurut beliau, kesinambungan pertandingan berkenaan mampu membentuk komuniti fotografi lebih besar, selain membuka ruang kepada penggiatnya mengetengahkan keunikan destinasi pelancongan Terengganu.

“Kita berharap penyertaan antarabangsa dapat dipertingkatkan pada penganjuran akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya merancang mempamerkan hasil karya peserta SMIPA menerusi media sosial serta mempertimbangkan penerbitan buku foto bagi mendokumentasikan karya berkenaan.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan