KUALA TERENGGANU, 28 April – Ahli gimnastik kebangsaan, Muhamad Shahrul Aimy Kamaru Hisham dan pelumba basikal negara, Nur Aisyah Zubir dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu pada Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2024/2025.
Kejayaan itu membolehkan kedua-dua atlet berkenaan membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan, sepasang blazer serta sijil kepujian.
Muhamad Shahrul Aimy sebelum ini mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih satu pingat emas dan satu gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, selain satu gangsa di Kejohanan Asian Championship 2024.
Beliau turut mewakili negara dalam Kejohanan World Cup Baku 2024 dan Kejohanan World Championship 2025.
Sementara itu, Nur Aisyah pula terus mengharumkan nama Terengganu dan negara apabila menyumbang satu pingat emas dan dua perak pada Sukan SEA Thailand 2025.
Beliau turut meraih satu gangsa dalam Kejohanan Track Asian 2025 serta dua pingat perak pada Kejohanan Asia Cycling Championship 2025.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Anugerah Sukan Terengganu yang berlangsung di Hotel Permai, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam pada itu, atlet olahraga, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif diumumkan sebagai Olahragawan Harapan, manakala atlet angkat berat, Siti Aqilah Farhana Draman menerima Anugerah Olahragawati Harapan.
Kedua-dua penerima anugerah harapan itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,500, piala iringan dan sijil kepujian.
Sementara itu, pelumba basikal para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet ping pong, Nurul Nasuha Mohd Anuar masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan Para dan Olahragawati Para.
Mereka turut menerima wang tunai RM3,000, piala iringan serta sijil kepujian.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah pada majlis berkenaan yang mempertandingkan 11 kategori anugerah serta dua anugerah khas iaitu Anugerah Jasamu Dikenang dan Anugerah Khas Pencapaian.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para atlet, jurulatih, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa memberi sokongan.
“Setiap kejayaan yang diraikan bukan datang dengan mudah, tetapi hasil disiplin, latihan yang konsisten dan pengorbanan yang berpanjangan.
“Kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh pembangunan sukan sebagai agenda strategik termasuk memberi penekanan kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi agar kesinambungan kecemerlangan ini dapat diteruskan.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah. Teruskan melangkah dengan semangat dan keazaman yang tinggi.
“Semoga lebih banyak kejayaan dapat dilakar, bukan sahaja di peringkat negeri dan negara, tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
Tag :