Berita :
Seri Minit Akhir, THT Kutip Satu Mata
Seri Minit Akhir, THT Kutip Satu Mata
Mohd Irsyadi Abu Bakar
6 jam yang lepas
102

KUALA LUMPUR, 18 April - Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berpuas hati menamatkan perlawanan dengan satu mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Maybank dalam aksi kedua TNB Liga Hoki Malaysia (MHL), semalam.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional itu, skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom turun menentang pendahulu liga dengan harapan mengutip tiga mata pertama dalam liga.

Perlawanan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan cuba mencari rentak dan mengatur serangan.

Suku pertama menyaksikan THT lebih banyak mengawal permainan, tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Berlainan pada suku kedua, Maybank dilihat lebih memberikan ancaman ke kubu pelawat, namun kedudukan kekal 0-0 sehingga separuh masa pertama tamat.
Memasuki suku ketiga, THT berjaya memecahkan kebuntuan jaringan apabila kapten pasukan, Mohd Fitri Shaari melakukan pukulan deras menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhamad Zaimi Mat Deris untuk gol pertama THT pada minit ke-42.

Ketika keputusan dilihat seakan-akan memihak THT, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin muncul wira Maybank apabila menyumbat masuk gol penyamaan pada minit ke-60.
Keputusan seri menyaksikan THT sekadar memperolehi satu mata dari dua perlawanan dan kini berada di kedudukan keempat liga.

THT alan bertemu pasukan ATM pada Ahad (esok) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada aksi ketiga TNB Liga Hoki Malaysia (MHL).


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan