Jalur Gemilang
Berita :
RM13.4 Juta Diperuntuk Hadapi MTL di Terengganu
RM13.4 Juta Diperuntuk Hadapi MTL di Terengganu
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
113

HULU TERENGGANU, 15 Oktober – Sebanyak RM13.4 juta diperuntukkan bagi persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Terengganu, dengan kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri kini hampir 100 peratus.

Pengarah JKM Negeri Terengganu, Ismail Kasan berkata, daripada jumlah itu, RM2.4 juta disediakan Kerajaan Persekutuan, manakala kira-kira RM11 juta lagi diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

"Setakat ini persiapan kita dah hampir 100 peratus dan dalam peringkat akhir di mana kita buat agihan yang terakhir.

"Kita akan melaksanakan hujung bulan ini (Oktober dan awal bulan November. 100 peratus agihan semua peralatan-peralatan juga dan makanan kering yang kita akan sedia kepada semua stor  penyimpanan dan juga pengkalan hadapan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Warga Emas dan Seminar Citra Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026, di Dewan Sivik Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Tambahnya, semua bekalan berkenaan akan ditempatkan di stor penyimpanan dan pangkalan hadapan bagi memastikan keperluan menghadapi banjir dapat disediakan lebih awal.

"Bekalan ini akan dibahagikan setiap daerah," tambahnya.

Persiapan itu merupakan sebahagian daripada langkah JKM bagi memastikan bekalan dan peralatan berkaitan tersedia apabila diperlukan sepanjang musim Monsun Timur Laut.

Dalam pada itu, jurang antara generasi muda dan warga emas perlu dirapatkan bagi membina masyarakat yang lebih harmoni, inklusif dan saling menghormati, selaras dengan keperluan memanfaatkan pengalaman golongan berusia dalam pembangunan komuniti.

Katanya, warga emas bukan sekadar golongan yang meniti usia lanjut, sebaliknya merupakan khazanah berharga yang memiliki ilmu, pengalaman dan nilai murni untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Menurutnya, Seminar Citra Minda Intergenerasi yang diadakan bersempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2026 berperanan menjadi jambatan penghubung antara golongan muda dan warga emas.

“Melalui seminar ini, kita mahu membuka ruang dialog yang bermakna, menyemaikan sikap saling menghormati serta memanfaatkan kearifan tempatan yang dimiliki oleh golongan veteran.

“Apabila minda anak muda yang bertenaga digandingkan dengan kearifan dan pengalaman golongan veteran, kita mampu membina sebuah komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan berdaya tahan,” tambah beliau.

Sambutan pada tahun ini bertemakan Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni, yang menekankan kepentingan menghargai sumbangan golongan berkenaan dalam membentuk masyarakat dan negara.

Sementara itu, beliau menambah, kerajaan negeri bersama pelbagai agensi terus memberikan perhatian terhadap kebajikan warga emas, termasuk melalui peranan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

Katanya, inisiatif berkenaan penting bagi memastikan warga emas mempunyai ruang untuk kekal aktif, sihat dan ceria, selain menikmati kehidupan sosial yang bermakna.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan