Berita :
Permohonan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong Dibuka April Ini
Permohonan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong Dibuka April Ini
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
111

KUALA TERENGGANU, 1 April – Berita baik buat rakyat Terengganu yang masih belum memiliki kediaman sendiri apabila permohonan Rumah Mampu Milik (RMM) dan Bercampur di Teluk Kalong Sejahtera, Kemaman kini dibuka bermula hari ini sehingga 30 April 2026.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan) memaklumkan projek RMM Jenis B (Swasta) itu menawarkan sebanyak 121 unit rumah teres satu tingkat dengan harga bermula RM185,000 seunit.

Menurut kenyataan tersebut, setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan kira-kira 900 kaki persegi, sesuai untuk keperluan keluarga sederhana.

Selain itu, kawasan perumahan berkenaan turut menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti surau, dewan, tadika, taman permainan dan kawasan riadah bagi menjamin kesejahteraan komuniti setempat.

Dari segi kelayakan, permohonan terbuka kepada isi rumah yang berpendapatan minimum RM3,000 dan maksimum RM8,000 sebulan, tertakluk kepada syarat kelayakan RMM Jenis B yang ditetapkan kerajaan negeri.

Pembiayaan bagi pembelian rumah ini boleh dibuat melalui institusi perbankan atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Sistem ePerumahan Terengganu di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan