lightning-solid
Berita :
Pelaburan RM105 Juta Pacu Terengganu Jadi Pengeluar Ayam Utama Pantai Timur
Pelaburan RM105 Juta Pacu Terengganu Jadi Pengeluar Ayam Utama Pantai Timur
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
562

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Terengganu berpotensi muncul sebagai antara pengeluar ayam terbesar di Pantai Timur menerusi pembangunan industri penternakan ayam berskala besar bernilai kira-kira RM105 juta.

Projek itu merupakan antara pelaburan terbesar dalam sektor pertanian negeri tahun ini dan dijangka membantu meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging ayam Terengganu kepada 100 peratus menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan mengoptimumkan tanah rizab padang ragut yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.

Menurutnya, pembangunan itu akan mewujudkan rantaian pengeluaran ayam dan telur secara bersepadu, sekali gus mengurangkan kebergantungan negeri terhadap bekalan dari luar.

“Dengan pelaksanaan projek ini, insya-Allah Terengganu akan muncul sebagai antara pengeluar ayam yang terbesar di Pantai Timur.

“Pada masa sama, ia memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri kerana pengeluaran tidak lagi hanya bergantung kepada bekalan dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Rizab Padang Ragut untuk Projek Penternakan Ayam antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu dengan CAB Cakaran (Timur) Sdn. Bhd. di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr. Azman berkata, projek berkenaan melibatkan tiga kawasan iaitu Padang Ragut Damar Minyak, Setiu seluas 101.5 hektar; Padang Ragut Kampung Papan, Dungun seluas 284.7 hektar dan Padang Ragut Cermin Kanan, Dungun seluas 28.43 hektar.

Katanya, fasa pertama di Damar Minyak membabitkan pembinaan 50 reban ayam pedaging dengan kapasiti satu juta ekor bagi setiap pusingan.

“Ia disasarkan mampu menghasilkan kira-kira enam juta ekor ayam setahun.

“Fasa kedua di Kampung Papan pula melibatkan pembangunan ladang ayam penelur berkapasiti sehingga 1.4 juta ekor dan dijangka menghasilkan kira-kira satu juta biji telur sehari.

“Fasa ketiga di Cermin Kanan membabitkan pembangunan 25 reban ayam baka atau parent stock bagi menyokong program pembiakan,” katanya.

Menurut Dr. Azman, antara kekuatan utama projek itu ialah penglibatan syarikat yang menguasai rantaian industri ayam secara menyeluruh, merangkumi pembiakan baka, pengeluaran makanan ternakan dan operasi ladang.

Jelasnya, CAB Cakaran turut memiliki grandparent stock, membolehkan aspek genetik dan pembiakan ayam dikawal dalam rantaian pengeluaran syarikat.

“Ini satu kelebihan besar kerana mereka bukan sekadar menternak ayam, tetapi menguasai rantaian pengeluaran daripada ladang pembiakan, kilang makanan ternakan hingga ke ladang ternakan.

“Kerajaan negeri amat berbangga kerana pemain antara yang terbesar di Malaysia dalam sektor penternakan dan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia memilih untuk melabur di Terengganu.

“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi sektor pertanian negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan lawatan ke operasi syarikat di Pulau Pinang bagi menilai penggunaan teknologi moden dalam pengurusan ladang.

Antaranya kata beliau termasuk sistem yang mampu mengurangkan gangguan bau dan lalat walaupun operasi ladang berada berhampiran kawasan penempatan penduduk.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan membantu memudah cara urusan kelulusan dan perancangan pembangunan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

“Fasa pertama dijangka disiapkan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira dua tahun selepas memperoleh kelulusan berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Azman berkata peningkatan pengeluaran ayam tempatan turut berpotensi membantu menstabilkan harga melalui keseimbangan antara bekalan dan permintaan.

Katanya, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 47 hingga 50 kilogram daging ayam seorang setahun.

“Jadi apabila bekalan mencukupi dan selari dengan keperluan pasaran, kita menjangkakan harga ayam akan menjadi lebih stabil dan pada masa sama pengguna mendapat jaminan bekalan yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, pasaran bagi hasil pengeluaran projek tersebut juga tidak terhad kepada Terengganu, sebaliknya boleh dipasarkan ke seluruh negara mengikut permintaan.

“Matlamat kita bukan sekadar menghasilkan ayam untuk kegunaan negeri, tetapi membangunkan ekosistem industri yang mampu memberi nilai ekonomi lebih besar kepada Terengganu, termasuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan sektor agromakanan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan