Berita :
MBOR Udang Celup Tepung Terpanjang Angkat Nama Setiu
MBOR Udang Celup Tepung Terpanjang Angkat Nama Setiu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
115

KUALA TERENGGANU, 1 Julai– Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penghasilan udang celup tepung terpanjang di Malaysia dijangka menjadi pemangkin kepada promosi pelancongan dan industri makanan tradisional di daerah Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan itu merupakan inisiatif Pejabat Daerah Setiu sempena Karnival Pekan Budaya Daerah Setiu bagi mengetengahkan keunikan udang celup tepung yang sinonim dengan Rhu Sepuluh.

Beliau berkata, seramai 21 pengusaha berganding bahu menyediakan kira-kira 100,000 ekor udang atau satu tan metrik yang digoreng dan disusun di atas 547 buah meja sehingga berjaya mencipta rekod kebangsaan.

"Rhu Sepuluh sememangnya terkenal dengan hidangan celup tepung, khususnya udang celup tepung yang menjadi tarikan utama pengunjung. 

"Pengiktirafan MBOR ini akan membantu memperkenalkan makanan tradisional Terengganu dengan lebih meluas serta meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Beliau berkata, program itu turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk masing-masing, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.

Razali turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pengusaha yang menjayakan usaha tersebut.

Justeru itu, beliau berharap lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan bagi mengangkat warisan kulinari Terengganu ke peringkat nasional dan antarabangsa.

"Semoga usaha seperti ini terus mengangkat keunikan budaya, makanan tradisi dan sektor pelancongan Negeri Terengganu," tambah beliau.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan