lightning-solid
Berita :
Kos Sara Hidup Cabaran Terbesar Golongan Bapa di Terengganu
Kos Sara Hidup Cabaran Terbesar Golongan Bapa di Terengganu
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
53


KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kos sara hidup dikenal pasti sebagai cabaran terbesar yang dihadapi golongan bapa di Terengganu apabila 83.3 peratus responden mengakui terkesan dengan perkara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dapatan itu berdasarkan tinjauan pendapat umum sempena Sambutan Hari Bapa Kebangsaan 2025.

Menurutnya, sebanyak 82.3 peratus responden pula berdepan kesukaran mengimbangi komitmen kerja dengan masa berkualiti bersama keluarga.

“Dalam masa sama, 76.5 peratus menyatakan tekanan kewangan mendorong mereka melakukan pekerjaan tambahan bagi menyara keluarga.

“Keadaan ini menunjukkan cabaran seorang bapa bukan lagi terbatas kepada penyediaan sumber ekonomi, malah turut melibatkan keseimbangan peranan sebagai pencari nafkah, suami dan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Negeri Terengganu bertemakan ‘Sehebat Kasih Bapa’ di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini baru-baru ini.

Maliaman berkata, kekangan masa, keletihan fizikal dan tekanan psikologi boleh menjejaskan komunikasi serta hubungan kekeluargaan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Jelasnya, golongan bapa memerlukan sokongan dasar, persekitaran kerja yang kondusif serta jaringan sokongan komuniti yang menyeluruh bagi membantu mereka menghadapi cabaran sosial, ekonomi dan demografi yang semakin kompleks.

Menurut beliau, kerajaan negeri terus memperkukuh usaha memperkasa institusi keluarga menerusi kerjasama strategik dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Sambutan ini menjadi platform untuk menghargai jasa golongan bapa, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan penting mereka sebagai pemimpin, pelindung dan pendidik dalam keluarga.

“Selaras dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) dan Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara (ANKKN), kerajaan memberi penekanan kepada pemerkasaan peranan lelaki menerusi pendekatan keibubapaan bersama,” katanya.

Tambahnya, pendekatan itu mengiktiraf bapa bukan sahaja sebagai penyumbang ekonomi keluarga, tetapi turut memainkan peranan penting dalam pembangunan emosi, pembentukan sahsiah dan kesejahteraan anak-anak.

“Pengukuhan peranan bapa diyakini mampu meningkatkan daya tahan keluarga, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan