Artikel "Pelancongan" Terkini
                            Bijak Rebut Peluang Jana Pendapatan Dari Zon Bebas Cukai- Rozi
                        
                        
                            Masyarakat tempatan perlu bijak mengambil kesempatan bagi menjana pendapatan dan merebut peluang pekerjaan menerusi pembukaan fasa satu Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, kelebihan produk pelancongan yang ada perlu diterokai serta dimanfaat oleh masyarakat terutama golongan belia memandangkan pembangunan pesat seumpama itu tidak berlaku di mana-mana daerah mahupun negeri lain."Sebaik sahaja Zon Bebas Cukai dirasmikan, pelbagai peluang kerja akan muncul...kita kena cepat dan bijak untuk merebut peluang ini,jangan biarkan orang lain(orang luar) menguasainya dan kita hanya berputih mata melihat ini berlaku."Banyak peluang dan kerja akan wujud dalam pelbagai aspek seperti perniagaan makanan, pelancongan dan perkhidmatan contohnya menjadi pemandu pelancong."Ini semua boleh menjana pendapatan ekonomi penduduk setempat di kawasan berhampiran Tasik Kenyir,"katanya kepada Teganukita ketika ditemui.Rozi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong berkata, kini Tasik Kenyir bakal menjadi hab pelancongan Pantai Timur dan peningkatan kehadiran pelancong akan meningkat secara mendadak dari semasa ke semasa."Belia terutamanya perlu bijak dan adalah menjadi tanggungjawab mereka pada hari ini untuk terus berusaha agar dapat bersaing dalam apa jua bidang yang diceburi bagi menambah baik taraf kehidupan mereka,"kata beliau.Bagaimanapun, tambahnya, ia bergantung kepada usaha gigih dan kreativiti sendiri untuk mengubah segala sesuatu itu menjadi berharga atau mampu mendatangkan pulangan.Beliau menegaskan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir antara bukti usaha kerajaan dalam menambah baik taraf hidup dan merancakkan lagi pembangunan masyarakat setempat terutama di Hulu Terengganu."Bantuan pun sudah banyak diperkenalkan, ambil peluang ketika punyai ruang dan masa..jangan hanya duduk di rumah dan dengar hujah pembangkang, salahkan kerajaan, peluang sudah ada cuma inisiatif perlu diambil," katanya.
                        
                        
                                05 Aug 17
            
                    
                                159
            
            
                            Jelajah Beautiful Terengganu Catat Kutipan Memberangsangkan
                        
                        
                            Hari pertama Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 yang berlangsung di Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang mencatatkan kutipan yang amat memberangsangkan.Penolong Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pelancongan & Kebudayaan), Wan Mohd Firdaus Wan Sembak berkata, untuk hari pertama, jumlah hasil daripada ruang pameran dan jualan peserta pameran mencecah hampir RM50,000.Katanya, melihat situasi positif itu, tidak mustahil program tiga hari berkenaan mampu memberi pulangan menggalakkan kepada peserta yang terlibat terutama usahawan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)."Niya Serunding yang menyediakan makanan tradisional Terengganu seperti keropok keping dan serunding mencatatkan jualan tertinggi sepanjang semalam bagi Consumer Show dengan kutipan sebanyak RM5,050."Manakala bagi Travel Mart, Kenyir Travel yang menjanjikan keindahan semula jadinya telah berjaya menjual pakej pelancongan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16,500," katanya kepada Teganukita.Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 yang bermula semalam selama tiga hari di Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang kini memasuki siri keempat sejak ia diperkenalkan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian di Terengganu.Bagi siri jelajah kali ini, sebanyak 23 ruang pameran dibuka termasuk industri makanan dan asas tani, tekstil dan kraf, perkhidmatan pelancongan, produk spa dan kesihatan dan kecantikan serta banyak lagi.
                        
                        
                                05 Aug 17
            
                    
                                108
            
            
                            Program Jelajah Beautiful Terengganu Siri Keempat Di Utara Semenanjung
                        
                        
                            Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 selama tiga hari bermula hari ini di Pasaraya Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang memasuki siri keempat sejak diperkenalkan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian tarikan di Terengganu.Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata program tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan jelajah sebelum ini yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2015, Johor Bahru dan Singapura (2016).Katanya, pemilihan lokasi pada kali ini amat bersesuaian memandangkan ianya merupakan lokasi tumpuan masyarakat setempat di Utara Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang."Sebelum ini kita memberi tumpuan di sebelah  Wilayah Tengah dan Selatan Semenanjung iaitu di Kuala Lumpur serta Johor dan juga di Singapura."Jadi pada kali ini, kita melakukan promosi di Pulau Pinang bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Terengganu terutama dari Utara untuk mengenali negeri ini dengan lebih dekat," katanya.Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Beautiful Terengganu 2017 di Pasaraya Mydin Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, hari ini.Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.Tengku Zaihan berkata, selain menjadi platform kepada Visit Beautiful Terengganu 2017, program jelajah itu juga akan meneruskan sinergi pencetus kesedaran baharu kepada transformasi pembangunan sosio-ekonomu negeri Terengganu.Tambahnya, siri jelajah kali ini juga membawa sedikit kelainan kepada masyarakat di Utara Semenanjung."Pada kali ini, kita juga mempromosikan sub sektor pelancongan yang menjadi teras kepada pelancongan negeri iaitu eko pelancongan, agro pelancongan, pelancongan sukan, pelancongan pendidikan, pelancongan budaya dan pelancongan makanan."Ini juga secara tidak langsung akan merangsang kemasukan pelabur ke Negeri Terengganu agar kita lebih berdaya saing dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi Terengganu secara khususnya," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.Bagi siri jelajah kali ini, sebanyak 23 ruang pameran dibuka termasuk industri makanan dan asas tani, tekstil dan kraf, perkhidmatan pelancongan, produk spa dan kesihatan dan kecantikan serta banyak lagi.
                        
                        
                                04 Aug 17
            
                    
                                235
            
            
                            Houseboat Tasik Kenyir Dapat Sambutan Tinggi
                        
                        
                            Tasik Kenyir merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara seluas 2,600 kilometer persegi dan memiliki 340 pulau kecil.Sebelum ini, ia menjadi tarikan kepada pelancong kerana mempunyai 14 air terjun, jeram, hutan simpan dan gua yang mempunyai sejarah tersendiri.Terkini dengan pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir kelmarin, ia menjadi nilai tambah kepada produk sedia ada di destinasi pelancongan berkenaan yang sudah mempunyai keunikannya tersendiri.Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Mohd Rafi Abd Wahab berkata, dalam tempoh Zon Bebas Cukai yang baru membuka tirai dan beroperasi bagi fasa satu, pengusaha-pengusaha bot mendapat permintaan tinggi secara mendadak daripada pelancong  yang datang untuk membeli-belah sambil berehat di rumah bot (houseboat)."Rasanya untuk bulan Ogos ini, tempahan dah penuh namun masih ramai yang datang untuk bertanya sekiranya masih ada yang kosong. Ada yang terpaksa pulang dengan hampa dan ada yang terus menempah tarikh bagi menikmati keindahan tasik itu tidak lama lagi."Kami sediakan pakej-pakej yang menarik dan bersesuaian dengan kehendak para pengunjung tanpa membebankan mereka,"katanya kepada Teganukita ketika ditemui di Pengkalan Gawi,Tasik Kenyir, hari ini.Rafi berkata, pelbagai pakej menarik ditawarkan bagi setiap rumah bot, ada juga pakej selama dua hari satu malam dan tiga hari dua malam dengan tawaran harga yang menarik."Pakej yang ditawarkan kepada pengunjung memang berpatutan dengan pengisian yang di buat dan setakat ini kami tidak menerima rungutan bahawa harga yang dikenakan mahal."Harga bergantung kepada rumah bot..ada yang menawarkan pakej serendah RM1,300 untuk satu malam dan ada juga pakej yang bertaraf mewah mencecah RM2,600 untuk satu malam."Pilihan pakej bergantung kepada para pengunjung sama ada mahukan yang sederhana ataupun mewah dan pengusaha rumah bot yang menguruskan segalanya mengikut permintaan,"katanya lagi. Menurut Rafi lagi, tasik ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri seperti Gua Bewah yang menjadi penempatan manusia Zaman Mesolitik iaitu kira-kira 16,000 tahun lalu."Termasuklah dengan penemuan fosil dan pisau batu dipercayai tinggalan manusia Zaman Mesolitik di Gua Taat baru-baru ini,"ujarnya lagi.                        
                        
                        
                                02 Aug 17
            
                    
                                3250
            
            
                            Jualan Bebas Cukai Tasik Kenyir Fasa 1 Tiada Produk Berduti Tinggi
                        
                        
                            Jualan bebas cukai di Tasik Kenyir hanya melibatkan aktiviti peruncitan dan tidak termasuk barangan berduti tinggi seperti produk petroleum, kenderaan, produk minuman alkohol termasuk rokok dan tembakau.Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Omar Ismail berkata, pelancaran operasi jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir pada hari ini bermula di Pengkalan Gawi dan fasa seterusnya di Kompleks Bebas Cukai di Pulau Bayas yang dijangka beroperasi pada 1 Ogos tahun depan.Katanya, Ketengah mensasarkan untuk menarik 750,000 orang pengunjung pada tahun ini bagi menyemarakkan lagi pelancongan di Tasik Kenyir."Barangan utama Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir ialah coklat, pinggan mangkuk dan alatan dapur, minyak wangi serta bagasi."Dengan bermulanya operasi ini, akan menjadi satu titik tolak kepada pembangunan yang lebih pesat dan berimpak tinggi di Tasik Kenyir," katanya di majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'  Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir. Rosli OthmanHadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih,Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Pengurus Besar Ketengah,Omar Ismail dan juga Timbalan Pengerusi Ketengah, Dato' Din Adam.Beliau berkata, Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir juga akan berganding bahu dengan tarikan yang ada  seperti Kenyir Island Hopping, Santuari Kelah dan Perkampungan Konservarsi Gajah Kenyir (KECV) bagi memperkasakan Tasik Kenyir menjadi 'Destinasi Wajib Lawat' di Terengganu."Di samping itu, penduduk tempatan juga akan sama-sama menikmati hasil daripada pembangunan di Tasik Kenyir dengan peluang-peluang perniagaan dalam pelbagai bidang akan terbuka dengan lebih luas."Misalnya dengan pertambahan bilangan pengunjung, di Tasik Kenyir kini mempunyai rumah bot sebanyak 72 buah dan 42 buah bot laju yang memberikan hasil pendapatan kepada pengusaha-pengusaha tempatan,"katanya.
                        
                        
                                01 Aug 17
            
                    
                                1060
            
            
                            Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir  Bermula Hari Ini
                        
                        
                            Ahmad Razif menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. Tg Syamim Tg Ismail.Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir memberi nafas baharu kepada Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa apabila dilancarkan secara rasmi, hari ini.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi merupakan pembukaan fasa pertama sebelum fasa kedua bermula tidak lama lagi.Bagi fasa pertama, terdapat lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan mangkuk dan peralatan memasak yang akan beroperasi sepenuhnya di bawah pengurusan Ketengah Holding Sdn.Bhd dan Onine Alliance (M) Sdn Bhd."Namun penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol."Mengikut perancangan yang dibuat, fasa seterusnya membabit pembukaan zon bebas cukai di Pulau Bayas yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun depan."Kita berharap dengan beroperasinya zon bebas cukai ini,ianya kan setanding dengan zon bebas cukai yang terdapat di Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa akan datang,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi ,Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'  Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir.Rosli OthmanHadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih,Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Pengurus Besar Ketengah,Omar Ismail dan juga Timbalan Pengerusi Ketengah, Dato' Din Adam.Menurut Ahmad Razif, Tasik Kenyir bukan sahaja menjadi hab pelancongan dan pertanian tetapi berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi Pantai Timur serta destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.Jelas beliau lagi,pihaknya berharap dengan beroperasinya Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir itu, kedudukan  dan potensi tasik buatan manusia itu dapat dipertingkatkan dari segi infrastruktur pelancongan.Sementara itu, Ahmad Razif turut menyentuh mengenai tambang rumah bot dan bot laju kepada pelancong supaya ianya dapat diseragamkan serta mengenakan kadar berpatutan agar pelancong tidak terbeban.
                        
                        
                                01 Aug 17
            
                    
                                413
            
            
                            JPNT Perkenal Bengkel Pertabuhan Tunas Gamelan
                        
                        
                            Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menganjurkan Bengkel Pertabuhan Tunas Gamelan dalam usaha menyemarakkan rasa kecintaan terhadap seni dan warisan gamelan negeri.Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata bengkel tersebut diadakan sempena Festival Gamelan Sedunia yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 25 Ogos nanti.Katanya, usaha tersebut dijalankan bagi mencari serta memupuk bakat-bakat baru dalam seni gamelan selain menyerapkan rasa kecintaan terhadap muzik tarian gamelan."Penglibatan lebih 30 pelajar berusia dalam lingkungan 10 hingga 16 tahun dari tiga sekolah di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu berdasarkan kepada minat mereka dalam seni gamelan ini."Selain itu, kita juga ingin menyerapkan rasa kecintaan terhadap muzik dan tarian gamelan kepada mereka seawal usia agar mereka dapat menghayati emosi persembahan muzik gamelan ini sendiri," katanya.Beliau ditemui pemberita dalam majlis Pra Perasmian Festival Gamelan Sedunia di Warisan Sari, Kuala Nerus, hari ini.Tambah Tun Faisal, pengajuran Festival Gamela Sedunia diharapkan dapat menjadi platform dalam meningkatkan jalinan interaksi serta pertukaran idea dan pengalaman ke arah kemantapan penghayatan pengetahuan seni.Katanya, festival tersebut juga bakal menonjolkan dimensi baru dalan memartabatkan persembahan muzik dan tarian gamelan.Dijangkakan seramai 220 peserta akan melibatkan diri dalam festival tersebut termasuk empat kumpulan dari luar negara.Antara kumpulan yang akan melibatkan diri adalah dari Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
                        
                        
                                29 Jul 17
            
                    
                                217
            
            
                            Penggiat Pelancongan Perlu Proaktif
                        
                        
                            Tengku Zaihan bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Matta Familiarisation Trip di Hotel Permai, Kuala Terengganu. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.Penggiat pelancongan disarankan agar lebih proaktif dalam merebut peluang yang dibuka kepada mereka dalam membangunkan industri pelancongan khususnya di Terengganu.Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata kerajaan negeri sentiasa membuka peluang yang boleh diambil oleh penggiat industri pelancongan.Katanya, penggiat industri perlu melakukan anjakan minda untuk mengambil inisiatif perihal perkembangan semasa yang berlaku di Terengganu seperti penganjuran program serta acara pelancongan."Sudah sampai masanya penggiat-penggiat pelancongan harus berada dua langkah di hadapan dalam mendapat kelebihan kompetitif mendahului rakan niaga lain mendapatkan pelanggan."Inisiatif yang diambil oleh mereka ini secara tidak langsung dapat dimanfaatkan melalui penjualan pakej-pakej pelancongan berdasarkan kepada minat pelanggan terhadap program dan acara yang dianjurkan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Meraikan Peserta Matta Familiarisation Trip Ke Terengganu di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.Dalam ucapannya juga, Tengku Zaihan berharap agar wujud kolaborasi antara kerajaan negeri serta badan-badan NGO pelancongan bagi membolehkan penjanaan industri tersebut lebih mampan, bersepadu dan telus.Program anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang berlangsung selama tiga hari bermula 27  Julai lalu telah melibatkan 22 orang peserta.
                        
                        
                                28 Jul 17
            
                    
                                85
            
            
                            Pengunjung Tasik Kenyir Meningkat
                        
                        
                            Pengamal media turut dibawa ke Santuari Kelah. Foto Tengku Syamim Tengku IsmailLembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan terus mempromosikan  Tasik Kenyir, Hulu Terengganu  yang terkenal dengan pelbagai produk ekopelancongan, bagi memastikan jumlah pelancong ke kawasan itu terus meningkat pada masa depan.Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail, berkata pihaknya menolak andaian sesetengah pihak bahawa kedatangan pelancong semakin berkurangan di kawasan berkenaan sebaliknya jumlah pengunjung  ke lokasi  itu cukup memberangsangkan.Katanya, seramai 269,512 pelancong tempatan dan luar negara dicatatkan dalam tempoh  enam bulan pertama berbanding 247,089 pengunjung  bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan  8.32 peratus"Andaian bahawa kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir  semakin berkurangan adalah tidak benar kerana kedatangan pelancong sangat positif hasil promosi pelbagai kaedah antaranya  melalui media massa, media sosial, pengiklanan  dan promosi melalui penganjuran pelbagai program bersama kerajaan negeri di luar Terengganu mahupun peringkat antarabangsa. “Antara produk yang menjadi tarikan pengunjung adalah Santuari Kelah, kawasan air terjun Lasir, Gua Bewah, Kenyir Elephant Conservation Village (KEV), Kenyir Island Hopping dan Kenyir Water Park.”katanya.Beliau berkata demikian selepas Program Kenali Kenyir Bersama Media, di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, petang semalam.Seramai 13 pengamal media pelbagai agensi yang dikelola Pengurus Promosi Dan Korporat Ketengah, Ahmad Fathil Abd Ghani menyertai program selama dua hari satu malam yang bertujuan merapatkan hubungan baik antara pihak media dan Ketengah. Omar berkata, jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir di jangka terus meningkat apabila projek pulau bebas cukai Tasik Kenyir akan mula beroperasi sepenuhnya akhir tahun depan.“Pada masa sama merancang pelbagai program, antaranya Kembara Kenyir, Festival Kenyir, Kenyir Lake International Triathlon, Asean Monsoon Casting dan Pertandingan Memancing Santai Tasik Kenyir.“Program yang dirangka dan dirancang bersama kerajaan negeri dan pihak berkaitan itu dijangka bermula Ogos sehinggan akhir tahun ini,”katanya. 
                        
                        
                                26 Jul 17
            
                    
                                612
            
            
                            Tarikan Program Promosi Tasik Kenyir Sepanjang Julai Ini
                        
                        
                            Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kian rancak mempromosikan Tasik Kenyir dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tasik buatan manusia yang terbesar di asia itu.Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, promosi yang diadakan itu sebagai langkah awal untuk mempersiapkan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai tidak lama lagi.Katanya, tirai pelancongan Ketengah dimulakan pada awal Julai dengan program 'Kenali Kenyir' bersama media arus perdana Terengganu dan lawatan media 'influencer' Jepun yang dianjurkan  baru-baru ini."Seterusnya kita ada lawatan pembelajaran ke Tasik Kenyir oleh Pemandu Pelancong Malaysia yang melibatkan seramai 95 orang pada 19 Julai ini dan Lawatan peserta Global Tourism Conference (paper presenter & international participants)pada 22 Julai ini."Pada 24 Julai,program Moh Jalan-Jalan 2017 bersama RTM Negeri Sembilan diikuti Lawatan MATTA inbound agents ke Tasik Kenyir pada27 hingga 28 Julai dan penutup bagi promosi Julai dengan Kembara Kenyir 2017 anjuran Kerajaan Negeri,Jabatan Pengangkutan Jaln(JPJ) & Skuad Muda 1JPJ (TBC) bermula 27 hingga 30 Julai,"kata Omar.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Terbuka Raya Ketengah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.Menurutnya lagi, program yang dirancang sepanjang bulan itu bertujuan menarik pelancong sekali gus mempromosikan Tasik Kenyir sebagai Pulau Bebas Cukai yang bakal dirasmikan tidak lama lagi oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.Sementara itu, hampir 2,000 pengunjung diraikan dalam majlis tersebut dengan pelbagai juadah istimewa di samping berpeluang menaiki rumah bot secara percuma mengelilingi Tasik Kenyir.
                        
                        
                                17 Jul 17
            
                    
                                84