Artikel "Pelancongan" Terkini
Cabaran Adu Kolek Terengganu Di Pulau Warisan
Terusan buatan manusia sepanjang kira-kira 700 meter di Pulau Warisan, Kuala Terengganu bakal menjadi tumpuan ribuan pengunjung bagi menyaksikan cabaran Adu Kolek Terengganu selama dua hari bermula 23 Disember (Sabtu) ini .Perlumbaan itu akan menyaksikan 12 pasukan berentap, termasuk pasukan dari Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin bagi merebut hadiah keseluruhan hampir RM9,000 di mana tempat pertama menawarkan RM2,500 .Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata adu merupakan satu istilah yang membawa maksud bertanding untuk merebut kemenangan dalam sesuatu perlumbaan.Katanya, manakala kolek merupakan sejenis perahu tradisi Terengganu yang digunakan oleh masyarakat persisir untuk menangkap ikan dengan penggunaan layar dan berkayuh sebagai asas pada pergerakan perahu. “Acara-acara pesta air ini antaranya perlumbaan perahu nelayan seperti Payang, Kolek, Sekoci, perahu panjang, bot nelayan, bot penambang, bot berhias, tangkap itik, pukul bantal dan panjat tiang licin. “Sehingga kini terdapat beberapa negeri di Malaysia yang mana masih mengekalkan dan memartabatkan acara-acara air yang menjadi simbol bagi negeri tersebut,”katanya.Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Duyong Marina, Kuala Terengganu, petang ini.Katanya, sewajarnya program sebegini diteruskan kerana bertepatan Terengganu yang sinonim dengan gelaran `Negeri Persisir Air’.“Pertandingan seumpama ini diharap dapat menarik pelancong ke negeri ini menghayati kehebatan masyarakat maritim Terengganu sekaligus menghidupkan kembali warisan nenek moyang yang cukup handal mengunakan perahu pada satu ketika dahulu.“Pertandingan lumba perahu tradisi mampu menarik minat dan kecenderungan golongan belia remaja untuk berkecimpung dalam acara sukan rekreasi air, “katanya.
21 Dec 17
449
PAU 2017 : Peluang Ketengah Promosi Produk Pelancongan
Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama lima hari bermula semalam membuka ruang kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk mempromosi Tasik Kenyir dan produk pelancongan menarik dalam wilayah itu.Pengurus Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, menerusi booth Ketengah yang dibuka di Pavilion Beautiful Terengganu anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, pengunjung boleh mendapatkan maklumat tentang produk pelancongan yang terdapat di wilayah Ketengah seperti Hutan Lipur Chemerong, Bukit Besi Rainforest Endurance Park dan pelbagai lagi.“Malah, pakej-pakej menarik dan produk tarikan di Tasik Kenyir seperti Taman Orkid, Santuari Kelah, Air Terjun Lasir, Kampung Konservasi Gajah Kenyir dan lain-lain turut di ketengahkan.“Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Parlimen Besut dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau Negeri Melaka, Dato’ Ghazale Muhamad berkesempatan melawat dan bertukar-tukar fikiran mengenai pelancongan negeri ketika berkunjung ke booth Ketengah, pagi ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.Ahmad Fathil berkata, ruang yang diberikan dalam Pavilion Beautiful Terengganu itu bukan sahaja memberi mereka platform untuk lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus berkongsi maklumat aktiviti serta perkhidmatan yang ditawarkan Ketengah dengan lebih berkesan.“Kita mahu para perwakilan UMNO dan pengunjung yang datang ke PWTC sempena persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 kenal dengan lebih dekat Tasik Kenyir dan produk-produk lain yang ada dalam Wilayah Ketengah. “Ianya bukan setakat menjadi medan mempromosi produk yang kita miliki tetapi lebih kepada usaha memastikan kunjungan ke Tasik Kenyir sentiasa menjadi pilihan utama pengujung dari semasa ke semasa,” ujarnya.Katanya, apa yang menarik, orang ramai turut berpeluang merasai air tongkat ali, kacip fatimah dan mahkota dewa yang dibawa khas dari Pulau Herba, Tasik Kenyir sempena pameran tersebut.
05 Dec 17
73
Jualan Batik, Songket Terengganu RM50,000 DI MITC, Melaka
Usahawan Terengganu berjaya mengutip jualan hampir RM60,000 hasil jualan sepanjang lima hari pada Jelajah Beautiful Terengganu Sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Semalaysia (PTIWRBNM) 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka yang berakhir Sabtu lalu.Daripada keseluruhan kutipan jualan berkenaan, semua usahawan di bawah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu berjaya menarik ramai pembeli menerusi kehalusan seni dan kualiti tekstil batik serta songket yang ditawarkan apabila produk berkenaan mengumpul jualan sehingga RM50,000.Pada hari terakhir temasya itu, jualan batik dan songket sahaja merekod kutipan sehingga RM40,000Pengusaha yang terlibat adalah Terengganu Kitchen, Fadhizan Songket, Ety Batek, Fatimah Keropok dan Syamzshida Batik And Songket Collection, selain kaunter informasi serta beberapa kaunter pelancongan seperti Kampung Cina, Setiu Wetland, Kenyir dan demonstrasi kraf anyaman.Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, program Jelajah Beautiful Terengganu (JBT) di Melaka merupakan penutup siri jelajah program promosi pelancongan negeri bagi tahun ini.Katanya, program jelajah tersebut akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang."Program JBT di Melaka merupakan lokasi terakhir untuk tahun ini. Pada tahun hadapan kita akan bermula program jelajah VBT seawal Januari."Untuk tahun hadapan kita akan laksanakan program jelajah ini di Johor, Kuala Lumpur dan satu lokasi lagi mungkin di Perak sempena Sukma (Sukan Malaysia) 2018 selain satu lokasi di luar negara iaitu Singapura," katanya kepada Teganukita.Dalam pada itu, pemilihan lokasi untuk program di Melaka, baru-baru ini adalah disebabkan lokasi yang strategik dan sering menerima kunjungan orang ramai selain daripada acara yang sedang berlangsung melibatkan isteri-isteri orang kenamaan serta kuasa beli yang tinggi."Kita ambil peluang di mana-mana ada tempat atau acara di lokasi yang bersesuaian untuk kita mempromosikan Terengganu."Jadi kita ambil kesempatan di MITC yang sentiasa menerima kunjungan pelancong-pelancong kerana di situ turut disediakan pelbagai acara sampingan. Pada masa yang sama ianya berjaya menarik kunjungan pelawat untuk mengikuti pelbagai segmen yang disediakan penganjur acara," katanya.
26 Nov 17
607
Bukit Besi Jadi Hab Tarikan Baharu Acara Ekstrem
Faktor fizikal kawasan Bukit Besi, Hulu Dungun yang dahulunya terkenal sebagai kawasan pelombongan biji timah mempunyai potensi luas untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini, khususnya bagi penggemar sukan ekstrem.Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) yang mula dibuka sejak November lalu kini kian popular dan mampu menjadi tarikan ramai peminat aktiviti lasak seperti sukan kuda lasak, All Terain Vehicle (ATV), marathon, motocross, basikal mountain bike dan mature hiking.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Roslee Daud berkata, pihaknya kini giat berusaha untuk menerokai potensi pelancongan yang boleh diketengahkan supaya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat selain tumpuan kepada aktiviti lasak seperti ATV dan basikal mountain bike.Katanya, menjadi hasrat penduduk setempat supaya Bukit Besi membangun seperti zaman kegemilangannya yang pernah menjadi tapak perlombongan terkenal suatu ketika dahulu."Dengan adanya pusat eko-pelancongan seperti Bukit Besi Rainforest ini, ianya dapat memberi banyak kebaikan untuk orang tempatan seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia di kawasan sekitar."Banyak aktiviti yang sedang dirancangkan untuk merancakkan lagi kalendar pelancongan seperti kejohanan ATV yang terbuka kepada peserta dalam dan luar Terengganu,"katanya.Beliau ditemui media dalam lawatannya ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park, Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun.Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Negeri Terengganu, Zaleha Zainuddin dan Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah.BBREP mempunyai trek lasak serbaguna sepanjang 31 km yang digunakan untuk pelbagai aktiviti lasak sukan kuda lasak, ATV, marathon, motosikal lasak, basikal lasak dan sebagainya.
19 Nov 17
1184
Sukan Lasak ATV Ikon Terbaru Pelancongan Di Bukit Besi
Sukan lasak All Terrain Vehicle (ATV) akan menjadi satu ikon tarikan terbaru di Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) Dungun bagi penggemar sukan ekstrem.Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah berkata, Sukan ATV di BBREP berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi eko-pelancongan yang menjadi pusat sukan lasak di Daerah Dungun dan Negeri Terengganu."Kita mempunyai trek lima kilometer dan 25 kilometer yang mengambil masa hingga empat jam dengan jalan naik dan turun bukit serta meredah laluan sukar yang penuh lumpur memberi cabaran untuk melepasinya yang menguji ketahanan mental serta fizikal."Harga yang dikenakan adalah berpatutan dan bagi laluan lima kilometer hanya RM50 dikenakan dan merupakan kadar terendah di negara ini di samping pemandu dapat menghayati keindahan alam sekitar yang terdapat di BBREP," katanya kepada media yang turut diberi peluang mencuba menaiki ATV di Bukit Besi Rainforest, Dungun, semalam.Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaliha Zainuddin.Menurut Mohamad, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan tempahan untuk hujung minggu sentiasa penuh walaupun baru beroperasi sejak sebulan lalu dengan kehadiran pengunjung dari Dungun dan Kuala Terengganu dan ia mula dapat perhatian pengunjung dari luar Terengganu termasuk dari Kuala Lumpur."Kami juga akan menyediakan pakej pertandingan bersama penginapan bagi kemudahan pengunjung dan perbincangan telah pun dibuat dengan pengusaha homestay di sekitar Bukit Besi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka secara kolaborasi bersama."Pihak kami bercadang untuk melaksanakan kejohanan ATV pada setiap bulan dan pertandingan kejuaraan ATV pada akhir tahun dengan menghimpunkan peserta yang meraih banyak mata. Penganjuran sukan ini bakal menarik minat penaja besar seperti red bull dan petronas," katanya lagi.Selain ATV, beberapa sukan lain turut disediakan di BBREP seperti sukan kuda lasak, marathon, motorcross, basikal mountain bike dan mature hiking."Pada 17 Februari depan kita akan anjurkan Mountain Bike Jamboree yang mensasarkan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar Terengganu."InsyaAllah, pihak kami juga sedang menyiapkan trek khas untuk motorcross lima kilometer yang akan siap pada minggu depan selain trek 31 kilometer yang sedia ada,"ujar Mohamad.
18 Nov 17
1244
Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 Berlangsung 23 November Ini
Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu bakal menganjurkan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 pada 23 hingga 26 November ini bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program yang tersebut akan menampilkan pengisian dan fokus berbeza dengan penganjuran Monsoon Cup.Katanya, program tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri tanpa melibatkan kelab-kelab profesional dunia."Ini adalah salah satu acara yang kita hendak laksanakan menggunakan konsep mengikut acuan Negeri Terengganu dan belanja pun tidak besar."Bajet dijangka lebih kurang RM200,000 dan kebanyakannya adalah daripada penaja. Kerajaan negeri akan memperuntukkan bajet yang minimun iaitu untuk promosi sahaja," katanya.Beliau berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Putrajaya, hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang.Ahmad Razif berkata, keselamatan semasa kejohanan tersebut berlangsung amat dititiberatkan kerana dijalankan ketika musim monsun selain daripada penglibatan pengunjung yang dijangka akan memenuhi kawasan tersebut.Program tersebut dijangka melibatkan 300 peserta daripada dalam dan luar negeri bakal berentap dalam beberapa acara dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan sebanyak RM60,000.Lima acara yang akan dipertandingkan dalam kejohanan tersebut adalah acara 'optimist', 'windsurfing', 'laser', 'international 420' dan 'rc sailboat racing'.Manakala tujuh kategori dipertandingkan iaitu 'Best Team Piala Monsoon', 'GP Final Monsoon Cup', 'Monsoon Cup', 'Round Island Challenge', IPT, 'Novice' dan 'Remote Control Challenge'.
15 Nov 17
168
100,000 Spesies Ikan Habuan Pemancing Di Tasik Kenyir
Ahmad Faisal bersama barisan penaja Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2017. Foto oleh Harish Fadzillah KassimKira-kira 100,000 pelbagai spesies ikan air tawar bakal dilepaskan ke Sungai Leban, Tasik Kenyir Hulu Terengganu sempena Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2017 pada 30 November ini.Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM65,000 berupa enjin bot, bot aluminium, bot fibre, motor elektrik, produk dan aksesori memancing itu diadakan selama empat hari, berakhir pada 3 Disember.Lebih 350 pemancing termasuk peserta dari Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Singapura sudah mengesahkan diri menyertai pertandingan yang bertujuan membina rangkaian sosial melibatkan pelbagai negara, selain memperkenalkan lokasi memancing terbaik di rantau ini.Peserta yang akan bergerak menggunakan perkhidmatan 14 rumah bot dan 150 bot fiber itu anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).Pengarah JPNT, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya menyumbang kira-kira 10,000 ikan sebarau dan masih mengalu-alukan pihak lain untuk berbuat demikian bagi menjayakan program tahunan yang berkonsepkan tangkap dan lepas.“Mereka tidak dibenarkan sama sekali membawa pulang hasil tangkapan sebaliknya hanya dibenarkan untuk mengambil gambar sebagai kenangan. “Apa yang diperkenalkan sejak awal penganjuran bertujuan bagi menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi habitat di Tasik Kenyir,”katanya Majlis Penyerahan Penajaan sempena AMCT di Duyong Marina, Kuala Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengurus Pelancongan Ketengah, Ahmad Fathil Abd Ghani.Ahmad Faisal berkata, hasil kolaborasi bersama penganjur, empat pemancing terbaik daripada program AMCT bakal mewakili negara menyertai International Bass Fishing di Andong Lake, Korea Selatan pada pertengahan tahun depan.“Peserta yang mahu ke pertandingan itu perlu melepasi beberapa ujian kelayakan Program Anglers Exchange, selain memiliki enjin bot Mercury, “katanya
15 Nov 17
139
SKMM Mahu Tambah Menara Telekomunikasi Di Tasik Kenyir
Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berusaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan telekomunikasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi memastikan liputan talian telefon di zon pelancongan itu lebih meluas.Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata, beberapa lokasi yang dikenal pasti sebelum ini sudah dipasang menara telekomunikasi termasuk di kawasan Pos Kawalan Santuari Kelah, Sungai Petang dan Air Terjun Lasir.Katanya, SKMM turut bercadang memasang kemudahan sama di lokasi lain namun bergantung pada keperluan berikutan ada di kalangan pelancong tidak mahu sebarang ‘gangguan’ ketika bercuti.“Pada masa sama, kita juga perlu untuk memikirkan berkaitan peruntukan yang tentunya libat kos yang tinggi, apatah lagi perlu mengangkut barang bina ke kawasan tasik.“Kaedah terbaik akan dilaksanakan dengan mengambil kira banyak faktor, sekali gus memastikan bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir terus meningkat yang secara tidak langsung merancakkan lagi sosioekonomi setempat,"katanya kepada Teganukita.Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada Teganukita sempena Lawatan Kerja Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut serta, Pengarah Ukom, Dato' Muda Mamat.
08 Nov 17
610
Joyful Malaysia @ KLIA Buka Dimensi Baru Sektor Pelancongan
Joyful Malaysia @ KLIA & KLIA 2 yang berlangsung 12 hari sepanjang hujung minggu pada Oktober lalu berjaya membuka dimensi baru dalam sektor pelancongan di Terengganu.Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, penampilan yang dilakukan oleh pihaknya pada setiap hujung minggu sepanjang Oktober lalu membuka mata kepada para pelancong mengenai keunikan Terengganu.Katanya, dengan adanya program anjuran kerajaan negeri melalui JPNT dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad (MAB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dapat memberi gambaran sebenar mengenai Terengganu."Penampilan kita berjaya kerana masih ramai daripada pengunjung antarabangsa yang datang ke Kuala Lumpur mereka tidak dapat membezakan Terengganu dengan Malaysia. Bagi mereka Terengganu itu Malaysia dan Malaysia itu Terengganu."Jadi penyertaan kita dalam program ini memberi peluang untuk menerangkan lebih jelas lagi kepada pengunjung yang kebanyakannya datang secara berkumpulan selain dapat memberikan bahan-bahan kepada sasaran-sasaran baru pelancongan Terengganu," katanya kepada Teganukita.Tun Ahmad Faisal berkata, sepanjang 12 hari berada di sana, pelbagai aktiviti disusun atur bagi menarik pelancong ke gerai pameran.Tambahnya, pihaknya tidak melatakkan sasaran khsusus pengunjung untuk program tersebut, namun dijangkakan bilangan pelancong ke gerai pameran melebihi 100,000 pengunjung."Kita mengambil kira statistik yang dikeluarkan oleh pihak MAB di mana 25 juta pelancong menggunakan KLIA 2 manakala 15 juta lagi menggunakan KLIA 1."Jadi kalau kita dapat mempamerkan jenama Terengganu ini kepada satu peratus saja daripada pengunjung pada hari itu, ianya sudah menjadi satu bilangan yang besar," katanya.
04 Nov 17
280
Martabat Keris Warisan Melayu
`Tak kenal maka tak cinta', itulah perumpamaan yang menggambarkan minat Wan Omar Wan Mansor, 46, terhadap senjata tradisional Melayu terutamanya keris dan pembuatan sarung kerana pembuatannya yang bermutu tidak hanya bergantung kepada kemahiran dan pengalaman.Hasil kerja beliau kini mendapat tempat di hati pencinta senjata tradisional kerana mempunyai keunikan tersendiri dan masih menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan sarung senjata yang melambangkan kekuatan orang Melayu.Mula berjinak dalam industri pembuatan sarung sejak berumur 13 tahun menjadikan beliau sangat berpengalaman dan berilmu pengetahuan dalam penghasilan sarung apatah lagi setelah menguasai ilmu ini daripada seorang pembuat sarung ternama di Besut pada 2005."Saya mula belajar membuat sarung pada usia belasan tahun daripada pengamatan dengan orang-orang terdahulu.Pada peringkat awal bukan mudah, banyak yang perlu dipelajari selok-belok pembuatan sarung senjata ini."Sejak itu, minat dan kecintaan tegar kepada kehalusan seni ini telah menguasai dunia saya hingga terdorong untuk memulakan bengkel ketukangan sendiri di rumah,"katanya.Bapa kepada dua anak itu berkata kecintaan itu sekarang menjadi sumber rezeki dan pendapatan tetap yang memberi pulangan agak lumayan untuk beliau menanggung kehidupannya sekeluarga.Dengan modal RM250, kini beliau mampu tersenyum dengan hasil pendapatannya yang mencapai RM4,000 sebulan dan apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Korban, boleh mencecah RM7,000 sebulan.Harga minimum sarung yang dijualnya bermula dari RM70 dan boleh mencecah RM2,500 bergantung kepada jenis, kualiti kayu serta ukiran yang dipesan oleh pelanggan.Wan Omar memasarkan produknya dalam talian seperti Facebook (wanjaja creative), pameran keusahawanan di bawah kraftangan,Yayasan Pembangunan Usahawan dan Risda serta pernah memasuki pasaran Singapura.Beliau boleh menghasilkan tiga bilah sarung setiap hari jika menggunakan mesin dan sebilah sahaja dalam masa dua hari jika menggunakan tangan sepenuhnya."Ini bergantung kepada permintaan dan tempahan pelanggan. Ada yang nak tradisional dan ada nak pembuatan moden tapi kalau ukiran tu banyak akan makan masa tiga hari."Ukiran ni pun banyak bentuknya seperti awan larat, cincang pukat, bunga ketumbit dan bunga pulut termasuklah pembuatan ukiran hulu keris yang agak rumit seperti kepala burung dan kepala kuda laut," katanya lagi.Bakat Wan Omar tidak hanya terhad kepada pembuatan sarung keris, parang, badik, lembing, kerambit dan golok tetapi juga paip tembakau pelbagai reka bentuk mengikut cita rasa tempahan pelanggan.Jelas beliau lagi, seorang pembuat sarung harus peka dan bijak dalam memilih jenis kayu yang sesuai dengan kehendak pelanggan."Seorang pengukir harus menguasai ilmu ini kerana setiap jenis kayu mempunyai corak tertentu serta warna tersendiri yang berbeza dan sekali gus menjadikannya lebih eksklusif."Ada lebih daripada 20 jenis kayu yang saya gunakan, antaranya kayu kemuning, buey, macang hutan, sena dan ciku bagi memastikan ia berkualiti." Bekalan kayu ni saya beli dari orang asli di Kampung Chini, Pahang termasuklah dari kawasan Tasik Kenyir mengikut ketul. Harganya mengikut ukuran kaki dan boleh mencecah hingga RM300 bagi satu ketul (2 kaki setengah),"kata Wan Omar.Wan Omar menanam azam untuk terus menjaga warisan Melayu ini supaya tidak hilang ditelan zaman dan kini menurunkan ilmu pertukangan kepada anak bongsunya Wan Muhammad Haziq, 9, yang mula menunjukkan minat dalam seni ketukangan ini.Untuk itu, beliau amat berharap ada mana-mana pihak yang boleh memberi bantuan bagi membaik pulih bengkelnya atau bina baru bagi membolehkannya mengembangkan pertukangan ini dengan menambah peralatan dan pekerja.Wan Omar merupakan antara aktivis seni ketukangan setempat yang bertindak memupuk kesinambungan warisan sebagai pemangkin seni dan ekonomi setempat. Oleh itu, pencinta seni sepertinya harus di bela demi menjaga peninggalan warisan nenek moyang kita yang tidak ternilai ini.
01 Nov 17
2191