lightning-solid
Berita :
‘Jangan Berdalih, Bayar Semula RM1.43 Bilion Dana LPT2’
‘Jangan Berdalih, Bayar Semula RM1.43 Bilion Dana LPT2’
Rohayati Ripin
18 jam yang lepas
634

KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Kerajaan Persekutuan digesa menunaikan tanggungjawab membayar semula dana pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berjumlah RM1.43 bilion yang didakwa telah didahulukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, dana kerajaan negeri digunakan bagi memastikan projek berkenaan dapat diteruskan ketika Kerajaan Persekutuan berdepan kekangan kewangan.

Menurut beliau, pembinaan lebuh raya merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun Terengganu ketika itu telah mendahulukan dana demi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan untuk kepentingan rakyat.

“Kalau mengikut adat dan tanggungjawab, kerajaan pusat sepatutnya membayar semula kerana negeri telah mendahulukan dana bagi memastikan projek LPT2 dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

“Jangan berdalih. Lebuh raya ialah tanggungjawab kerajaan pusat, maka bayarlah semula,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Alias berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pembayaran balik sebanyak RM200 juta setahun pernah dilaksanakan, namun hanya dibuat sekali sebelum dihentikan selepas berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau mendakwa alasan ketiadaan perjanjian bertulis tidak seharusnya dijadikan asas untuk menolak tuntutan berkenaan kerana persetujuan tersebut dibuat atas tanggungjawab bersama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan ketika itu.

Katanya, meskipun beliau tidak menggunakan istilah hutang, perkara berkenaan tetap melibatkan tanggungjawab yang perlu diselesaikan oleh kerajaan pusat.

“Walaupun saya tidak menggunakan istilah hutang, tetapi ini adalah soal tanggungjawab kerajaan pusat.

“Dari sudut prinsip Islam juga, setiap tanggungjawab yang dipersetujui perlu ditunaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Alias turut mengaitkan isu tersebut dengan beberapa tuntutan lain melibatkan Terengganu yang menurutnya masih belum diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, antaranya termasuk isu pembayaran royalti petroleum serta penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berpandangan, berdasarkan rekod pentadbiran sedia ada, tuntutan tersebut sukar diselesaikan selagi tiada perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya berpandangan, selagi kerajaan sedia ada memerintah, sukar untuk perkara ini diselesaikan berdasarkan rekod yang kita lihat sebelum ini.

“Cara untuk menyelesaikannya ialah melalui pertukaran kerajaan supaya segala tanggungjawab terhadap negeri dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan adil,” katanya.

Alias turut mendakwa beberapa tindakan Kerajaan Persekutuan ketika ini bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta mencabar hak istimewa orang Melayu dan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.

“Justeru, kita perlu berusaha menukar kerajaan melalui saluran demokrasi agar segala isu melibatkan hak negeri dan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih baik,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan