Berita :
Diesel Naik, Petani Makin Sesak: Exco Terengganu Bimbang Krisis Makanan
Diesel Naik, Petani Makin Sesak: Exco Terengganu Bimbang Krisis Makanan
Husaif Mamat
19 jam yang lepas
285

KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kenaikan harga diesel dijangka sekali lagi menjerut pesawah apabila kos membajak, menuai dan mengangkut padi terus melonjak, sedangkan harga padi kekal tidak berubah dan potongan di kilang pula masih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim, berkata tekanan berganda itu boleh mendorong petani berputus asa untuk terus mengerjakan sawah jika tiada penyelesaian segera.

Menurutnya, sebelum lonjakan harga diesel sekali pun, upah membajak sudah mencecah RM170 seekar bagi jentera berantai dan RM160 seekar bagi jentera tayar, manakala upah jentuai pula sekitar RM13 seguni.

“Dengan harga diesel sekarang memang tak dapat dielakkan lagi, upah jentuai pada musim menuai bulan April nanti akan naik dengan mendadak.

“Upah membajak sawah bagi musim baru akan datang juga akan turut naik,” katanya dalam kenyataan semalam. 

Dr. Azman berkata, kesan kenaikan diesel bukan hanya dirasai ketika kerja di bendang, malah turut menambah beban logistik kerana lori yang menghantar padi ke kilang juga menggunakan bahan api itu.

Katanya, dalam keadaan kos pengeluaran terus meningkat, petani terpaksa menelan hakikat bahawa harga padi tidak naik, sedangkan kadar potongan di kilang padi masih membebankan.

“Dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung petani sekarang, harga padi pula tak naik dan ditambah dengan kadar potongan yang tinggi di kilang padi, maka yang tinggal untuk petani hanyalah air mata,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu tidak boleh dipandang sebagai isu kecil kerana jika pesawah mula hilang daya tahan, negara bakal berdepan implikasi jauh lebih besar terhadap jaminan bekalan makanan.

“Saya risau bila air mata ini tak dapat lagi dibendung mengalir, petani akan berputus asa untuk terus mengerjakan sawah.

“Natijahnya, kita akan berhadapan dengan krisis makanan,” katanya lagi.

Dr. Azman turut menjelaskan bahawa jentera pembajak dan jentuai yang digunakan dalam sektor pertanian tidak termasuk dalam skop Budi-Agri Madani, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap perlindungan sebenar kepada golongan pengeluar makanan.

Kenyataan itu hadir ketika kebimbangan terhadap beban kos dalam sektor pertanian semakin memuncak, khususnya dalam kalangan pesawah yang menjadi tulang belakang bekalan beras tempatan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan