Berita :
Amzad Bangkit Status Cukai Karbon, Minta Perlindungan Untuk PKS
Amzad Bangkit Status Cukai Karbon, Minta Perlindungan Untuk PKS
Izzat Muslim
2 jam yang lepas
51

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, hari ini membangkitkan isu pelaksanaan Cukai Karbon yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dengan meminta penjelasan kerajaan mengenai status terkini pelaksanaannya serta langkah-langkah bagi melindungi kepentingan industri tempatan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Ahmad Amzad meminta Kementerian Kewangan menjelaskan garis masa pelaksanaan cukai karbon bagi sektor besi, keluli dan tenaga serta mekanisme penyaluran semula hasil kutipan cukai tersebut sebagai dana peralihan hijau atau insentif penyahkarbonan kepada PKS.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pengenalan cukai karbon adalah selaras dengan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Menurut beliau, pelaksanaan awal cukai karbon akan memberi tumpuan kepada sektor besi, keluli dan tenaga yang merupakan antara penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca negara.

“Pada masa ini, Kementerian Kewangan sedang berada dalam fasa akhir merangka dasar cukai karbon yang komprehensif. Pelaksanaannya juga akan diselaraskan dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan serta Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang sedang dibangunkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kadar cukai karbon, nilai ambang pelepasan (emission threshold) dan skop pelepasan yang akan dikenakan cukai masih dalam penelitian kerajaan sebelum dimuktamadkan.

Dalam soalan tambahan, Ahmad Amzad mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan yang diamalkan di beberapa negara lain, termasuk penggunaan kredit karbon domestik sebagai mekanisme offset bagi mengurangkan liabiliti cukai karbon syarikat.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai Bursa Carbon Exchange (BCX) yang berpotensi memainkan peranan penting dalam membangunkan pasaran karbon tempatan serta menggalakkan syarikat melaksanakan usaha pengurangan pelepasan karbon.

Selain itu, Ahmad Amzad turut mencadangkan supaya kerajaan menetapkan ambang pelepasan tertentu seperti yang dilaksanakan di Singapura bagi memastikan cukai karbon hanya dikenakan kepada pengeluar pelepasan karbon berskala besar.

Menurut beliau, pendekatan tersebut dapat melindungi PKS daripada beban kos tambahan dan memastikan pelaksanaan dasar karbon negara dilakukan secara lebih berimbang.

Menjawab cadangan tersebut, Liew berkata mekanisme offset melalui kredit karbon serta Sistem Perdagangan Pelepasan (ETS) merupakan antara komponen yang sedang dipertimbangkan dalam pembentukan kerangka dasar karbon negara.

Beliau turut memberi jaminan bahawa cukai karbon tidak akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat kecil, sebaliknya akan tertumpu kepada sektor yang mempunyai pelepasan karbon tinggi seperti industri besi, keluli dan tenaga.

“Tujuan cukai karbon bukan untuk meningkatkan hasil kerajaan semata-mata, tetapi sebagai instrumen carbon pricing bagi meletakkan nilai terhadap pelepasan karbon dan menggalakkan pengurangan emisi. 

"Pada masa yang sama, kerajaan sedang meneliti pembangunan ekosistem offset dan ETS yang lebih holistik,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan