Berita :
52 Peratus Royalti Tak Masuk Akaun, Negeri Hilang Kawalan Kewangan
52 Peratus Royalti Tak Masuk Akaun, Negeri Hilang Kawalan Kewangan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
142

KUALA TERENGGANU, 22 April – Sebanyak 52 peratus daripada keseluruhan hasil royalti tahun 2025 yang dipegang Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ia sekali gus mengulangi episod lalu iaitu sejak 2023 apabila hasil milik Terengganu itu tidak diurus sebagaimana perjanjian asal.

Beliau berkata hanya 48 peratus daripada hasil berkenaan disalurkan kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembayaran emolumen dan urusan pentadbiran.

Menurutnya, baki yang masih dipegang itu pula tidak diserahkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya dibayar berdasarkan tuntutan bagi projek atau program tertentu, dengan pembayaran dibuat terus oleh MOF kepada syarikat atau pihak berkaitan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan penuh terhadap kewangan, walaupun tanggungjawab pentadbiran, pelaksanaan program dan komitmen kontrak tetap berada di bawah urusan negeri.

“Contohnya, kerja penyelenggaraan seperti kutipan sampah yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan negeri kepada syarikat konsesi, kini dibayar terus oleh MOF.

“Sedangkan kontrak perkhidmatan ditandatangani oleh kerajaan negeri, tetapi bayaran dibuat oleh pihak lain. Ini menyebabkan kita tidak mempunyai kawalan penuh terhadap kewangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang lalu, rakyat Terengganu secara total (32 DUN) memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk mentadbir Terengganu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata keadaan sama turut berlaku dalam pelaksanaan pelbagai program negeri termasuk keusahawanan, pendidikan dan biasiswa yang sebelum ini dibiayai melalui hasil royalti.

Katanya, pembayaran bagi program berkenaan juga dibuat terus oleh MOF kepada penerima tanpa melalui akaun kerajaan negeri.

Tambah beliau, proses itu turut melibatkan agensi seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sekali gus menjadikan urusan kewangan lebih berlapis walaupun pelaksanaannya tetap dipikul oleh kerajaan negeri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan